Penyerang Sayap Prolifik Gonzalo Cabrera Berpisah Dengan Kelab Johor Darul Ta’zim

Kelab Johor Darul Ta’zim telah mengumumkan bahawa pemain sayap import yang paling berjaya di Liga Super Malaysia , Gonzalo Cabrera meninggalkan kelab selepas lima tahun menabur bakti di kelab milik Tunku Mahkota Johor (TMJ)

Pengumuman ini telah dikongsikan melalui media sosial rasmi Johor Southern Tigers (JST) sebentar tadi dan ia sangat mengejutkan kepada para penyokongnya.

“Terima kasih Gonzalo Cabrera. Ini merupakan satu pengalaman manis yang akan sentiasa dikenang , memenangi pelbagai trofi dan menjaringkan jumlah gol yang banyak untuk menjadi penjaring terbanyak Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim sepanjang zaman bagi Liga Super Malaysia (43 gol) dan kesemua pertandingan (66) dalam 152 penampilan sejak 2017.

Penyerang sayap yang berasal daripada Argentina ini boleh dianggap sebagai pemain import yang paling berjaya di kelab JDT dan beliau tidak pernah mempunyai sebarang kontroversi samaada di dalam mahupun di luar padang. Sikap profesionalisma sebagai seorang pemain merupakan satu contoh yang harus diteladani khusus kepada pemain bolasepak JDT.

“Sudah tiba masanya untuk berpisah tetapi ianya merupakan penghormatan yang amat besar. Terima kasih sekali lagi untuk setiap detik yang indah dan kami ucapkan selamat maju jaya,” kenyataan rasmi daripada JST.

Setakat ini masih belum diketahui kemana hala tuju pemain yang berusia 32 tahun dan hasrat untuk menjadikan Cabrera sebagai seorang lagi pemain naturalisasi Malaysia masih samar-samar.

Gonzalo Cabrera telah meraih pelbagai trofi seperti Juara Liga Super sebanyak 5 kali (2017-2021), Juara Piala Sumbangsih (2018-2021) dan  Juara Piala Malaysia 2 kali (2017 & 2019).

Dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan pilihan PFAM dan menjadi calon pemain import terbaik untuk Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) adalah merupakan pengiktirafan dan pencapaian yang terbaik sepanjang kariernya.

Pemain yang berasal dari Buenos Aires itu telah menjaringkan 66 gol daripada 152 penampilan bersama skuad Harimau Selatan dengan 43 gol di saingan Liga Super Malaysia (MSL).

Ini merupakan rekod paling berjaya seorang pemain import di kelab JDT dan pasti penyokong merindui kelibat pemain ini di Stadium Sultan Ibrahim.

Dengan perpisahan Cabrera , sudah pasti pengurusan JDT akan membawa pemain import lebih berkualiti untuk cabaran musim depan susulan kenyataan |DYMM Tunku Mahkota Johor pada awal Disember lalu.

Kelab Johor Darul Ta’zim terlepas peluang menambah koleksi Piala Malaysia 2021 untuk kali ketiga selepas dikejutkan dengan kelab kerdil Kuala Lumpur City dengan kekalahan 2-0 dalam perlawanan akhir dua minggu yang lalu.

 

 

Kongsi artikel ini