Penyerang JDT Bidas Bekas Kelab Kerana Tidak Telus Dedah Kisah Sebenar

Penyerang JDT, Diogo Luis Santo tampil mempertikaikan bekas kelabnya, BG Pathum dan berpendapat pengurusan kelab itu sepatutnya malu atas layanan yang diberikan kepadanya ketika masih bersama kelab Thailand itu.

Kenyataan daripada Diogo itu dilakukan di media sosial dan menjadi viral di Thailand. Ia adalah kenyataan respon kepada kenyataan Presiden BG Pathum yang menjelaskan sebab kontrak Diogo bersama kelab itu ditamatkan pada November lalu.

Dalam satu temubual bersama media Thailand, USPORT, Presiden BG Pathum, Pavin Bhirombhakdi berkata ia bukanlah kehendak beliau untuk menamatkan kontrak pemain itu lebih awal daripada perjanjian asal.

Namun demikian Pavin berkata beliau terpaksa melakukannya untuk kebaikkan kedua-dua pihak.

Pada November lalu, pemain berusia 35 tahun itu mencapai persetujuan bersama (mutual consent) untuk menamatkan kontrak dengan kelabnya di Thailand iaitu BG Pathum United.

Anehnya, penamatan kontrak Diogo dan BG Pathum United ini hadir beberapa hari selepas pengumuman perlantikan ketua jurulatih baharu dari Australia, Matt Smith.

Pendedahan Pavin Bhirombhakdi

Dalam temubual bersama USPORT, Pavin mendedahkan beliau mahu Diogo kekal bersama BG Pathum sehingga ke akhir musim Liga Thai.

“Saya mahu beliau kekal bersama kami sehingga ke akhir musim dan mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong selepas itu,” ujar Pavin seperti mana yang dilaporkan oleh Thairath.

“Untuk berakhir dengan cara begini pada saya tidak bagus. Diogo sendiri mengatakan cara terbaik adalah untuk membatalkan kontrak, tetapi saya juga berkata telah mengambil tindakan menukar jurulatih.

“Saya bertanya: ‘Adakah anda boleh kembali bersama pasukan?’. Tetapi nampaknya ia juga bukan mengenai jurulatih, tetapi juga berkaitan rakan sepasukan.

Diogo sebelum itu dipercayai mempunyai masalah secara peribadi dengan bekas jurulatih BG Pathum, Makoto Teguramori. Malah laporan dari Thailand mengatakan kedua-duanya terpaksa dijauhkan ketika sesi latihan kerana bergaduh sati sama lain.

Respon Diogo

Temubual oleh Pavin bersama USPORT itu turut mendapat respon daripada Diogo yang kini sah kembali menyertai JDT untuk musim 2023.

Melalui satu tangkap layar di media sosial yang kini telah tular, Diogo turut menjawab dakwaan oleh Pavin itu.

“Pihak kelab sepatutnya berasa malu atas layanan yang diberikan kepada saya. Mereka sepatutnya tunjukkan lebih rasa hormat kepada penyokong.

“Ramai pihak tidak tahu perkara 10% yang berlaku di sebalik kelab ini. Demi bola sepak, Thailand sepatutnya [kelab] lebih terbuka dan telus,” tulis Diogo.

Diogo sebenarnya bermula dengan agak baik ketika baru menyertai BG Pathum apabila menghasilkan lima gol daripada 6 penampilan pertamanya di Liga 1 Thailand.

Keadaan kemudiannya semakin berubah apabila memasuki pertengahan musim sehingga keputusan kontrak beliau bersama BG Pathum yang ditamatkan telah mengejutkan ramai pihak.

Mungkinkah ada perkara lain di sebalik penamatan kontrak tersebut tidak didedahkan sepertimana yang didakwa oleh Diogo?

Kongsi artikel ini