Penyerang Harimau Malaya, Darren Lok Sah Milik Sabah FC

Penyerang skuad Harimau Malaya, Darren Lok secara rasmi diumumkan sebagai pemain Sabah FC pada hari ini.

Pengumuman oleh Sabah FC itu sebenarnya tidak mengejutkan setelah pemain itu mulai dikaitkan dengan perpindahan ke kelab berpengkalan di Borneo itu sejak beberapa bulan lalu.

Kehadiran Darren dilihat akan membantu menambah sengat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu untuk saingan Liga Malaysia musim hadapan, yang turut akan bertanding di Piala AFC.

Darren yang sedang sibuk bersama skuad kebangsaan untuk kejohanan Piala AFF Mitsubishi Elektrik 2022 beraksi bersama Petaling Jaya City FC (PJ City) sejak dua musim lalu, dan tampil sebagai penjaring terbanyak di kalangan pemain tempatan pada musim ini dengan 10 gol.

Keputusan PJ City menarik diri daripada saingan Liga Malaysia pada musim hadapan bermakna Darren perlu mencari kelab baharu, dan Sabah FC tidak membuang banyak masa untuk meyakinkan pemain itu untuk menyertai mereka.

Kim Swee pasti lega dengan kejayaan membawa Darren Lok ke Sabah kerana jentera serangan adalah antara bahagian paling bermasalah buat skuad badak pada musim ini.

Setelah diulit dengan pelbagai kecederaan pada musim pertamanya bersama PJ City, musim ini Darren dilihat mulai menunjukkan potensi sebenar beliau sebagai seorang penyerang.

Prestasi cemerlang Darren di pertandingan domestik turut menarik perhatian Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, dan diangga antara wira yang membantu Malaysia melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2023, selain meledak satu gol ketika mereka menewaskan Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Bersama Sabah pada musim hadapan, Darren berkemungkinan besar akan digandingkan dengan Tchethce Kipre yang turut dikaitkan akan menyertai Sabah FC untuk saingan musim hadapan.

Kongsi artikel ini