Pengurusan Kedah FA Janji Lunas Gaji Mulai 15 Ogos

Akhirnya mungkin selepas tekanan demi tekanan diberikan, pengurusan Kedah FA akhirnya keluar dengan pelan pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai yang dikatakan tertunggak selama lima bulan.

Melalui satu kenyataan media pada hari ini, pengurusan Kedah FA berkata tunggakan gaji pemain dan pegawai akan mulai dijelaskan secara berperingkat mulai 15 Ogos akan datang.

Bagaimanapun, pembayaran tersebut hanya melibatkan tunggakan bulan Mac sahaja.

Bagi tunggakan bulan April, Mei, Jun, dan Julai 2020 akan dimaklumkan penyelesaian setelah rundingan mengenai pembayaran dilakukan dalam masa terdekat.

Sehubungan dengan itu juga, pihak KFA akan mewujudkan satu Jawatankuasa Khas Kewangan untuk menyelesaikan tunggakan selama empat bulan itu.

KENYATAAN MEDIAPERSATUAN BOLASEPAK KEDAH DARUL AMANTarikh: 4 Ogos 2020, SelasaMESYUARAT EKSEKUTIF PERSATUAN…

Posted by FA Kedah on Monday, August 3, 2020

Jawatankuasa tersebut dibentuk untuk mencari kaedah terbaik dalam ‘situasi menang-menang’ pihak persatuan dan pemain memandangkan Liga Super musim 2020 akan bersambung 26 Ogos ini.

Dalam perkembangan lain, Mesyuarat Eksekutif KFA kali ke-8 Penggal 2018-2022 yang berlangsung pada malam tadi turut memutuskan untuk mengekalkan pengurusan pasukan Liga Super Kedah sehingga tamat musim Liga Malaysia 2020.

Selepas itu masa depan pemain dan jurulatih di dalam skuad sedia ada akan dikaji semula sesuai dengan bajet.

Jawatankuasa Khas Kewangan yang ditubuhkan turut akan berfungsi untuk mendapatkan penajaan baharu dengan berunding segera dengan bakal penaja baru.

KFA dikatakan memerlukan minimum RM25 juta untuk melengkapkan operasi dan pengurusan pasukan musim 2020.

Punca masalah dana penajaan tertunggak sebelum ini turut dikatakan berpunca daripada perlaksanaan tanggungjawab secara ’one man show’ dalam penajaan, pengurusan kewangan, penentuan gaji pemain dan pengurusan pasukan.

 

Kongsi artikel ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on print
Share on email