Insiden pergaduhan membabitkan pasukan Thailand dan Indonesia di perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA pada malam tadi bukan sahaja menyaksikan layangan beberapa kad merah kepada pemain dan pegawai kedua-dua pasukan.
Insiden tersebut turut menyebabkan pengurus pasukan Indonesia, Sumardji mengalami kecederaan di bibir, selepas didakwa diserang oleh salah seorang jurulatih Thailand.
Ketika kejadian Sumardji kelihatan jatuh tersungkur saat dikerumuni puluhan pegawai dan pemain dari pasukan Thailand selepas cuba meleraikan ketegangan yang berlaku di antara kedua-dua pasukan. Peristiwa itu terjadi selepas skuad Garuda Muda berjaya mencetak gol di awal babak masa tambahan.
Official Timnas Thailand terlihat memukul Manajer Timnas Indonesia, Sumardji!
SHAME ON YOU!👎 pic.twitter.com/I2Yo68qZrQ
— FaktaBola (@FaktaSepakbola) May 16, 2023
Di dalam keadaan luka di bahagian hidung dan bibir, Sumardji kemudiannya dipapah ke tempat duduk pemain simpanan Indonesia.
“Sebenarnya saya akan menahan, tapi justru saya yang kena. Saya tidak masalah. Ini bagian dari perjuangan,” kata Sumardji ketika bercakap kepada wartawan mengenai insiden tersebut selepas perlawanan.
Siapa sebenarnya Sumardji? Mungkin ramai yang tidak mengetahui individu tersebut sebenarnya memegang jawatan penting di dalam bidang kepolisan Republik Indonesia.
Sumardji sebenarnya adalah salah seorang Kombes Pol Republik Indonesia. Komisaris Besar Polisi (Kombes) adalah tingkat ketiga perwira menengah di Kepolisian Republik Indonesia. Sebelum tahun 2001, pangkat ini disebut Kolonel, sama dengan pangkat yang setaraf di dalam ketenteraan.
[UTAS #ANTARANEWS]
Manajer Timnas Indonesia Kombes Pol Sumardji ternyata mengalami luka pada bagian bibir setelah adanya insiden saat kedudukan 2-2 pada pertandingan final melawan Thailand pada kemarin malam. #SEAGames2023 #TimnasIndonesia pic.twitter.com/4AJbVp95PF
— antaranews.com (@antaranews) May 17, 2023
Sumardji juga sebenarnya bukan watak asing di dalam bola sepak di Indonesia. Pada 2016, beliau pernah dilantik sebagai pengurus pasukan kelab Liga 1 Indonesia, Bhayangkara FC.
Setahun selepas itu, Sumardji membantu Bhayangkara FC yang dikemudi bekas ketua jurulatih Indonesia, Simon McMenemy muncul juara Liga 1 Indonesia.
Beliau juga pernah bergelar pengurus pasukan skuad kebangsaan Bawah-22 Indonesia yang muncul juara Piala AFF pada 2019.
Sumbangan beliau di dalam bidang sukan bola sepak dan olahraga di Indonesia turut pernah dihargai dengan anugerah khas oleh Seksi Wartawan Olahraga Persatuan Wartawan Indonesia (SIWO PWI) Jawa Timur.
Kejayaan menewaskan Thailand 5-2 selepas masa tambahan bermakna Indonesia berjaya menamatkjan kemarau pingat emas di dalam acara bola sepak lelaki di temasya dwi tahunan itu selepas 32 tahun.
Kali terakhir Indonesia merangkul pingat emas adalah pada 1991. Ini adalah kali pertama Indonesia meraih emas sejak acara bola sepak di Sukan SEA mewajibkan skuad B-22.