Pengendali Bahrain Anggap Pan-gon ‘Kaki Temberang’

Ketua jurulatih Bahrain, Helio Sousa nampaknya mengambil sikap lebih berhati-hati menjelang perlawanan menentang Malaysia di pusingan kelayakan Piala Asia 2023 esok.

Selepas menyaksikan sendiri bagaimana skuad Harimau Malaya membaham Turkmenistan di perlawanan pertama pada Rabu lalu, Sousa sedar ancaman yang mampu dihadirkan oleh anak buah Kim Pan-gon.

Kerana itulah, jurulatih Bahrain itu langsung tidak mahu percaya dengan permainan jurulatih daripada Korea Selatan itu yang menekankan misi Malaysia ialah untuk mendapatkan 1 mata ketika berhadapan pasukan kendaliannya.

“Malaysia [jurulatih Malaysia] mungkin berkata mereka hanya mahukan satu mata. Hakikatnya mereka datang ke perlawanan ini [esok] untuk memburu kemenangan,” kata Sousa di sidang media menjelang pertemuan Malaysia dan Bahrain esok.

“Keinginan [untuk menang] itu pasti akan sedia ada [buat Malaysia].

“Ranking semasa Malaysia tidak memberi refleksi kepada prestasi semasa dan kemampuan mereka.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar dan kami menjangkakan atmosfera yang hebat daripada penyokong [tuan rumah] yang hadir.”

Di atas kertas, Bahrain merupakan pasukan yang lebih kuat dan menduduki tangga ke-89 dunia.

Manakala Malaysia pula berada di kedudukan ke-154 dunia di dalam ranking FIFA.

Selepas perlawanan pertama pada Rabu lalu, Malaysia kini berada di kedudukan teratas saingan Kumpulan E kerana kelebihan jaringan.

Bahrain yang menewaskan Bangladesh dengan jaringan 2-0 pula berada di kedudukan kedua.

Juara kumpulan akan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023, manakala lima naib juara terbaik turut akan melayakkan diri.

Kongsi artikel ini