Pengalaman Safawi Boleh Bantu Pemain Tempatan Tingkat Prestasi – Tan Cheng Hoe

Kembalinya pemain kebangsaan negara yang berkelana di kelab Portimonense S.C Portugal , Safawi Rasid telah mendapat banyak respon daripada kalangan penyokong , pemerhati bolasepak dan rakyat Malaysia khususnya.

Jurulatih Harimau Malaya , Tan Cheng Hoe menyifatkan , walaupun Safawi berada di LigaNOS Portugal pada masa yang singkat , apa yang lebih penting pemain itu telah mendapat pendedahan bersama para pemain yang berada di tahap yang lebih baik berbanding di Liga Malaysia.

Pengalaman Safawi yang berlatih bersama kelab Portimonense S.C boleh dikongsi bersama dengan pemain-pemain tempatan untuk membantu mereka meningkatkan prestasi. Pengalaman itu juga boleh memberikan motivasi kepada Safawi untuk lebih bekerja keras bagi mencapai tahap seperti pemain-pemain di Eropah.

Pengendali skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe memberikan pandangan beliau mengenai penyerang kebangsaan yang sah akan bersama dengan JDT pada musim 2021.

Ketua Jurulatih ini juga telah menyambung kontrak sehingga tahun 2022 oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam misi utama untuk melayakkan skuad negara ini ke slot automatik pusingan akhir Piala Asia 2023.

Pada tahun 2020 ini merupakan tahun yang penuh musibah akibat pandemik Covid-19 sehingga semua kejohanan sukan termasuk bolasepak terpaksa ditangguhkan kepada kalendar tahun 2021 dan 2022.

Berikutan itu , skuad Harimau Malaya tidak bermain di mana-mana perlawanan kompetetif antarabangsa selama setahun dan ini menjadi kebimbangan ketua jurulatih kebangsaan berkenaan berikutan ketiadaan latihan pusat sebagai persediaan rapi untuk menghadapi tiga perlawanan yang penting pada tahun hadapan.

Skuad Harimau Malaya berjaya menduduki tangga kedua Kumpulan G selepas melakar kemenangan penting ke atas Indonesia dan Thailand berikutan persiapan yang amat rapi yang telah dirancang oleh Tan Cheng Hoe bersama pembantu jurulatih skuad kebangsaan.

Skuad Harimau Malaya telah melakarkan sembilan kemenangan dalam keseluruhan 13 perlawanan termasuk aksi persahabatan Tier 1 setelah muncul naib juara Piala AFF 2018 dengan empat daripadanya menewaskan pasukan di ranking lebih tinggi pada musim 2019.

Harimau Malaya mempunyai baki tiga perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan dilangsungkan pada bulan Mac 2021 dan Jun 2021 bertemu dengan pasukan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Vietnam dan Thailand.

 

 

 

Kongsi artikel ini