Penang FC Salahkan Masalah Internet Dan Khianat Punca Penstriman Piala Harapan Terganggu

Penang FC menyalahkan perbuatan khianat dan sabotaj sebagai punca utama penstriman siaran langsung Piala Harapan yang sedang rancak berlangsung tidak dapat disiarkan baru-baru ini.

Perkara itu dinyatakan oleh kelab tersebut melalui satu kenyataan baru-baru ini, setelah mendapat aduan pengguna yang mengalami masalah akses dan siaran terganggu walaupun telah melakukan bayaran untuk menyaksikan perlawanan.

“Pengurusan Penang FC mengambil berat berhubung aduan mengenai penyiaran secara langsung yang berjalans secara tidak lancar ekoran masalah capaian internet oleh penyedia kemudahan penyiaran.

“Pengurusan Penang FC memohon maaf dan juga berkongsi rasa terkolan pelanggan siaran langsung berhubung perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab sesetengah pengguna yang menyalahgunakan penyiaran langsun tersebut,” ujar kenyataan tersebut.

Melalui kenyataan yang sama Penang FC turut berkata perbuatan khianat tersebit dikhuatiri adalah satu bentuk sabotaj yang boleh memberikan persepsi negatif kepada pengurusan dan penyedia perkhidmatan.

“Oleh itu pihak MCMC akan dirujuk berhubung apa-apa jenis kesalahan jenayah media yang boleh dikaitkan dengan salah laku tersebut,” tambah kenyataan tersebut.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Penang FC, dipercayai ada pihak yang menyiarkan siaran langsung yang sama di platform lain tanpa sebarang kebenaran untuk tujuan tertentu.

Penang FC selaku penganjur Piala Harapan sebelum ini telah melantik Ballrz.Tv sebagai penyedia perkhidmatan penstriman siaran langsung perlawanan Piala Harapan.

Berikutan masalah yang dihadapi, Penang FC kini merancang untuk menyiarkan baki perlawanan di kejohanan pra musim tersebut di platform yang berbezaYouTube.

Kejohanan Piala Harapan disertai oleh 4 pasukan iaitu tuan rumah, Penang FC, Kedah Darul Aman FC, Selangor FC dan kelab Singapura, Geylang International FC.

Perlawanan penentuan tempat ke-3 dan ke-4 akan berlangsung pada jam 5 petang ini mempertemukan Geylang International dan Kedah Darul Aman FC.

Manakala perlawanan akhir yang akan bermula jam 9 malam akan mempertemukan tuan rumah, Penang FC dan Selangor FC.

Kedua-dua perlawanan akan diadakan di Stadium Negeri, Batu Kawan.

 

Kongsi artikel ini