Pemilik Kedah Darul Aman FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar mengakui dirinya turut terkejut melihat gol pembukaan Sang Kenari ketika melayan kunjungan Kuching City di saingan Liga Super baru-baru ini.
Perlawanan yang berkesudahan dengan kemenangan 3-0 kepada anak buah Nafuzi Zain itu melonjakkan pasukan dari utara tanah air itu ke kedudukan ketiga Liga Super, sekali gus memastikan mereka terus bersaing di kelompok atasan liga.
Tetapi tidak dinafikan perkara yang paling mencuri tumpuan adalah jaringan pemain pertahanan, Mohd Akmal Zahir yang merembat deras dengan kaki kanan dari luar kotak penalti.
Drive-shoot goal by Akmal Zahir ⚽💥#LigaSuper2023 #KDAKUC #KDAFC #AkmalZahir#SNESports pic.twitter.com/8sWaUT27cn
— SNEsports (@SNE_Sports) March 18, 2023
Percubaan pemain itu kemudiannya melencong, menewaskan penjaga gol Kuching City, Julian Schwarzer yang jelas tidak boleh berbuat apa-apa walaupun pada suatu ketika berjaya menyentuh bola tersebut ketika melayangkan badan dalam percubaan menyelamatkan keadaan.
“Saya yang menonton perlawanan ini di rumah setelah sampai dari KLIA pun terkejut besar. Betulke ada jaringan?
“Yang paling menarik perhatian saya adalah reaksi Amer Baek. Beliau meletakkan kedua-dua tangannya di belakang kepalanya tanda hairan dan terkejut sebaik saja bola melencung masuk di penjuru gol. Bola sebenarnya terbang laju di hadapan sepasang matanya. Beliau mungkin tidak menjangka bola sepakan laju Akmal akan masuk gol apatah lagi dengan penuh bergaya,” tulis Mohd Daud di Instagram peribadinya.
“Bila mana semua pemain meraikan jaringan gol hebat ini bersama pasukan kejurulatihan di sebelah padang, sekali lagi Amer Baek menangkat kedua-dua tangannya atas kepala. Beliau masih terkejut. Sebagai seorang yang ramai kawan di Asia Tengah, saya amat faham erti dan makna meletakkan kedua-dua tangan di belakang kepala selepas berlaku sesuatu insiden yang jarang berlaku.
“Akmal juga terkejut dengan jaringannya sendiri. Dalam sidang media selepas perlawanan, beliau juga menzahirkan rasa terkejut.
Beliau juga tidak lupa menzahirkan rasa syukur kepada Allah beberapa kali. Ini adab yang tinggi. Sehebat mana kita, semuanya hanya anugerah Allah.
“Jaringan ini akan kekal dalam memori penyokong dan peminat KDA FC sampai bila-bila. Anak-anak kecil serta remaja di sekolah dan padang bola dan pak cik di tempat kerja serta tokwan di kedai kopi dan majlis kenduri kendara akan bercakap tentang detik manis ini.
“Sang Kenari berhak menikmati detik manis ini. Malah setiap warga Malaysia pun berhak. Ini antara jaringan hebat dalam liga kita.
“Tahniah Akmal. Tahniah Sang Kenari. Tahniah penyokong dan peminat Sang Kenari. Kita sudah ada sebuah jaringan dalam liga kita yang indah dan mempersonakan.
“Apa yang saya hendak lagi? Cuba dapatkan lagi jaringan seindah ini. Hu hu. Tiada yang mustahil.
“Percaya. Latihan. Lakukan.”