Pemenang Kasut Emas Piala AFF Tinggalkan JDT Kerana Jordi Amat

Pemenang kasut emas Piala AFF 2020, Bienvenido Maranon sah meninggalkan JDT dipercayai untuk memberi laluan kepada Jordi Amat didaftarkan sebagai pemain import menggunakan slot ASEAN.

Perkara itu disahkan oleh pemain itu sendiri melalui perkongsian di Twitter peribadinya sebentar tadi.

Melalui ciapannya, Bienvenido Maranon berkata: “Terima kasih @officialjohor. Ia adalah satu kegembiraan menjadi sebahagian daripada kelab dan keluarga hebat ini.

Terima kasih @HRHJohorII kerana menjaga saya dan keluarga, atas peluang menikmati Johor di mana semua pemain mahu berada.

“Saya gembira dan bangga kerana menjadi salah seorang daripada mereka. Terima kasih juga kepada Martin Prest, @RuizandGomez dan @insaprojectglobalgroup kerana membantu saya. Tanpa anda semua ini tidak mungkin berlaku.

Bagi penyerang naturalisasi Filipina itu pengalaman beraksi bersama JDT telah menjadikan dirinya sebagai pemain yang lebih baik.

Sepanjang tempoh singkat bersama kelab dari selatan tanah air itu, Maranon mengakui telah belajar banyak perkara.

Maranon menyertai JDT pada awal musim ini selepas tujuh musim bersama United City FC di Liga Filipina, tetapi lebih banyak bersama skuad JDT II.

“Pergi Ke Kelab Terbaik Asia” – JDT Rembat Pemenang Kasut Emas Piala AFF?

Walaupun tidak mencatatkan sebarang minit perlawanan di saingan Liga Super Malaysia (MSL), Maranon sempat beraksi sepanjang 90 minit perlawanan untuk JDT di perlawanan peringkat kumpulan AFC Champions League menentang Kawasaki Frontale. Bagaimana pun, JDT tewas 5-0 dalam perlawanan tersebut.

Maranon bukanlah watak asing di dalam saingan bola sepak peringkat Asia dan pernah muncul penjaring terbanyak Piala AFC pada musim 2019 dan 2020.

Di kejohanan Piala AFF 2020 yang berlangsung pada Februari lalu, pemain ini menjaringkan 4 gol untuk Filipina untuk berkongsi anugerah kasut emas bersama Safawi Rasid, Teerasil Dangda dan Chanatip Songkrasin.

Kongsi artikel ini