Pembantu Madam Pang Didakwa Lakukan Gangguan Seksual Terhadap Pemain Thailand

Pengurus pasukan Thailand, Nualpan Lamsam atau lebih dikenali sebagai Madam Pang terpaksa tampil melakukan permohonan maaf terbuka kepada penyokong bola sepak di negara itu selepas timbulnya kontroversi di sebuah parti membabitkan pemain skuad B-23 Thailand dan pembantunya baru-baru ini.

Insiden tersebut berlaku pada 13 Jun lalu apabila pemain-pemain Thailand berparti sesama sendiri selepas menyertai beberapa siri kejohanan secara berterusan.

Beberapa anggota skuad senior kebangsaan, barisan pemain Thailand B-23 dan anggota skuad ke Sukan SEA menyertai parti tersebut.

Beberapa kakitangan dan pembantu kepada Madam Pang turut hadir, dan mereka semua sememangnya mengenali pemain-pemain untuk berparti bersama. Parti tersebut turut dikongsi melalui media sosial secara penstriman.

Bagaimana pun hanya pada 16 Jun perkara itu menjadi isu, melibatkan aksi tidak senonoh pembantu kepada Madam Pang yang dianggap tidak sesuai untuk pemain Thailand.

Pembantunya itu kemudian melakukan permohonan maaf di media sosial. Tidak dinyatakan apakah perbuatan pembantunya itu sehingga menyebabkan peminat bola sepak di Thailand rasa terkilan, tetapi ia adalah perkara yang berada di luar norma kebiasaan.

“Saya memohon maaf kerana membuatkan ramai tidak selesa di parti tersebut. Saya sebenarnya cuba menghangatkan lagi suasana di parti itu dan tidak berniat untuk tidak menghormati mana-mana pihak atau melakukan gangguan seksual,” tulis beliau.

Pembantunya itu mendakwa dirinya sebagai penganjur parti dan cuba untuk membuatkan semua pihak yang hadir gembira.

Namun demikian insiden tersebut dikatakan berlaku melebihi had sepatutnya, menyebabkan beliau terpaksa tampil memohon maaf.

“Saya sendiri tidak tenang sekarang. Ia adalah pengajaran kerana telah melibatkan mereka yang memiliki kepentingan [di dalam pasukan]. Ia adalah pengajaran yang amat berguna dan saya harus lebih berhati-hati. Saya menerima semua kritikan dengan hati terbuka,” ujar beliau lagi.

Madam Pang turut tidak ketinggalan memohon maaf atas kejadian itu. Sebagai pengurus dua pasukan bola sepak (skuad senior dan B-23), beliau turut harus bertanggungjawab.

Madam Pang berkata siastan lanjut akan dilakukan oleh pihaknya sebelum sebarang keputusan dibuat.

Kongsi artikel ini