Pemain Urawa Reds Tunduk Hormat Memohon Kemaafan Selepas ‘Berkicap’ Kena Maki Ultras Sendiri

Juara lapan kali yang juga juara bertahan Piala Maharaja, Urawa Reds kalah mengejut kepada pasukan tidak ternama dan beraksi di kasta kedua Liga Jepun, dengan jaringan 0-1 kepada Thespakusatsu Gunma pada malam tadi.

Kekalahan tersebut merupakan antara tiga keputusan mengejutkan yang berlaku di dalam aksi pusingan ketiga pertandingan trofi domestik di Jepun.

Selain Urawa, antara pasukan utama Liga J yang turut tewas kepada pasukan yang lebih kerdil adalah Kawasaki Frontale, Yokohama F. Marinos.

Kawasaki Frontale yang berstatus sebagai juara J1 League musim lalu tumbang di tangan Tokyo Verdy dengan jaringan yang sama.

Yokohama F. Marinos juga menerima nasib yang sama setelah tewas 2-0 kepada Tochigi SC.

Thespakusatsu Gunma, Tokyo Verdy dan Tochigi SC adalah pasukan yang beraksi di Liga J2 – divisyen kedua Liga Jepun.

Kekalahan Urawa cetus kemarahan penyokong

Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Saitama, kekalahan Urawa Reds kepada Gunna dianggap sebagai kekalahan mengejutkan mengambil kira pasukan itu kini hanya sekadar berada di kedudukan ke-18 daripada 22 pasukan di J2.

Musim ini bukanlah musim yang cemerlang buat Urawa yang bakal berhadapan dengan wakil negara,  JDT di pusingan 16 pasukan terbaik AFC Champions League pada Ogos hadapan.

Selepas melalui 17 perlawanan, Urawa setakat ini hanya berjaya mencatatkan 3 kemenangan, 9 kali seri dan kalah 5 kali untuk berada di kedudukan ke-13 J1.

Kekalahan mengejutkan kepada Gunma pada malam tadi pula hanya membuatkan penyokong Urawa lebih kecewa terhadap pencapaian pasukan itu pada musim ini.

Melalui pautan video yang tular di media sosial, jelas kelihatan barisan pemain Urawa tunduk memohon kemaafan kepada penyokong mereka sendiri yang marah.

Beberapa objek, termasuk ‘banner’ dan bendera turut kelihatan dilontar kepada pemain.

 

Kongsi artikel ini