Penyerang Mainz, Robin Quaison menampilkan idea yang tidak terfikirkan oleh pemain lain, dan jauh dari taktikal jurulatihnya sebelum menjaringkan gol untuk Mainz dalam perlawanan menentang Hertha Berlin pada hujung minggu lalu.
Ketika Mainz memperolehi lontaran ke dalam di kawasan Hertha Berlin, rata-rata pemain sibuk memberikan fokus kepada arah bola.
Pemain Mainz, termasuk Quaison turut dikawal pergerakan mereka – tatkala Hertha Berlin melakukan tugas untuk bertahan.
Namun apabila lontaran dilakukan di sebelah sisi kanan padang, pemain ini pula sibuk mengikat kasut.
🤔 This shoelace trick is definitely one for all you strikers out there to try in your next game 😼
🎩🎥 Robin Quaison pic.twitter.com/SoVPpVXoBT
— Bundesliga English (@Bundesliga_EN) February 12, 2020
Lawan yang mengawal pergerakan Quaison pun tidak mengendahkannya selepas itu.
Dan secara tiba-tiba ketika hantaran lintang dilakukan, Quaison bangkit meluru, menyusup dari belakang pemain pertahanan lawan untuk menjaringkan gol.
Gerakan itu dianggap nakal, tetapi pada masa yang sama genius. Marius Wolf yang pada mulanya mengawal Quaison jelas kelihatan kecewa kerana kealpaannya itu.
Selain Mainz, Quaison pernah beraksi untuk Palermo dan AIK. Selepas jaringan tersebut, beliau menambah lagi dua gol pada babak kedua untuk mencipta hatrik kedua sepanjang karier profesionalnya.
Hatrik pertama Quaison ialah ketika Mainz membelasah Werder Bremen pada Disember lalu.
Sepanjang musim ini, Quaison telah menjaringkan 11 gol dari 20 penampilan Bundesliga – dengan purata satu jaringan untuk setiap 148 minit.