Pemain Indonesia Sedih Ratu Tisha Letak Jawatan PSSI

Perletakkan jawatan Ratu Tisha selaku Setiausaha Kehormat Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) bukan sahaja akan memberikan kesan kepada badan bola sepak tersebut.

Malah ia turut memberi kesan kepada barisan pemain di dalam skuad Bawah-19 Tahun Indonesia.

Menurut laporan media di Indonesia, dua pemain iaitu Bagas Kaffa dan Bagus Kahfi sememangnya dikenali mempunyai hubungan yang rapat dengan Tisha.

Malah Tisha juga turut sering hadir menyaksikan program dan perlawanan membabitkan pasukan itu.

Disebabkan itu, perletakkan jawatan Ratu Tisha sedikit sebanyak dirasai oleh mereka.

“Ibu Tisha sememangnya sangat dekat dengan pasukan Bawah-16 dan juga Bawah-19. Ibu sangat melindungi. Maka ia pasti rasa kehilangan,” kata Bagas dalam satu program di Instagram Locker Room.

Kenangan manis bersama Tisha turut dirasai rakan sepasukan Bagas. Malah David Maulana masih terkenang pengalaman memasak juadah berbuka puasa bersama-sama Tisha.

“Banyak kenangan dengan beliau. Waktu itu sempat berbuka bersama, yang masakin Ibu Sekjen Ratu Tisha. Banyak juga kami dapat motivasi dari beliau, misalnya beliau minta untuk selalu percaya diri, jangan cepat puas,” kongsi David di laman sesawang Barito Putera.

“Harapan saya setelah ini semoga Ibu Tisha sihat selalu dan sentiasa dilindungi di mana pun berada,” katanya lebih lanjut.

Ratu Tisha adalah wanita pertama yang memegang jawatan tertinggi di dalam pengurusan PSSI.

Beliau juga merupakan wanita pertama di Indonesia yang memainkan peranan bersama AFC selaku anggota jawatankuasa pertandingan.

“Semoga tetap memberikan sumbangan kepada bola sepak Indonesia,” kata Bagas.

“Hati saya kalau dibelah isinya hanya sepak bola” ucap Ratu Tisha ketika mengundurkan diri dari kedudukannya di PSSI.

Kongsi artikel ini