Pemain Import Thailand Heret Melaka Kepada FIFA

Pemain import daripada Thailand, Naruphon Wild Putsorn telah membawa kes kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan tunggakan gaji yang belum diterimanya.

Malah menurut laporan The Star pada hari ini, pemain pertahanan itu turut bertindak menamatkan kontraknya bersama kelab Liga Super itu setelah hanya menerima gaji penuh pada Februari, dan hanya sebahagian untuk Mac.

Naruphon dipercayai menghantar surat untuk menamatkan kontrak bersama Melaka pada 24 Julai lalu, sebelum turut membuat laporan kepada FIFA.

Ejen kepada pemain tersebut, turut mengesahkan badan bola sepak dunia sudah memberikan maklum balas mengenai kes Naruphon dan Melaka dikatakan perlu memberikan jawapan mengenai hal tersebut.

Menurut laporan The Star lagi, Naruphon sebenarnya tidak berniat untuk meninggalkan pasukan dan bertindak membawa kes kepada FIFA.

Malah beliau sememangnya berniat untuk memenuhi kontrak asal. Namun tindakan pengurusan Melaka berdiam diri mengenai tunggakan gaji mendorong beliau untuk bertindak demikian.

“Saya dibiarkan berada pada posisi dan situasi yang boleh menganggu kedudukan kewangan peribadi, serta kesihatan mental dan emosi.

“Ia turut memberikan tekanan kepada isteri saya yang sedang sarat mengandung dan hubungan kami,” jelas pemain pertahanan yang turut pernah beraksi bersama Buriram United dan Suphanburi itu.

“Peguam saya pernah menghantar surat rasmi [menuntut tunggakan], namun tiada tindak balas. Janji demi janji diberikan, namun tidak pernah dipenuhi. Jadi saya terpaksa mengambil keputusan ini demi keluarga,” jelas pemain itu.

Naruphon turut menjelaskan Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan memahami tindakan yang terpaksa dilakukannya.

“Beliau [Zainal Abidin Hassan] faham situasi saya dan mahu saya kekal. Saya berterima kasihuntuk peluang yang diberikan beraksi bersama Melaka.

“Saya sangat menikmati saat bersama pemain dan kakitangan yang lain. Kami mempunyai hubungan baik sebagai sebuah pasukan, dan sepatutnya mampu melakar sesuatu yang bagus.”

“Keluarga saya melalui saat sukar pada separuh tahun ini disebabkan situasi keseluruhan. Jadi saya harus melakukan refleksi sebelum membuat keputusan untuk langkah seterusnya.

“Perkara di luar padang sangat memeningkan dan saya tidak mahu ada pemain lain berada pada situasi sama. Saya belajar banyak perkara bagaimana bola sepak di Malaysia diuruskan.”

Masalah kewangan skuad Melaka bukanlah perkara baharu. Sebelum ini pasukan itu pernah ditolak mata oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana gagal menjelaskan tunggakan gaji menjelang tarikh akhir yang ditetapkan.

Perkembangan terbaru ini turut tidak membantu skuad Sang Kancil. Akan lebih ramai pemain dijangka angkat kaki, dan ini satu lagi bukti kegagalan pengurusan kewangan di dalam bola sepak tanah air yang seperti tiada kesudahan.

 

 

Kongsi artikel ini