Pemain Import Dari Thailand Bakal Isi Kekosongan Syafiq Ahmad Di Kedah DA FC?

Khabar angin mengaitkan pasukan Liga Super Malaysia (MSL), Kedah Darul Aman FC dengan seorang pemain Thailand. Tiada nama pemain didedahkan secara rasmi setakat ini.

Kebetulan atau tidak, media siam turut melaporkan seorang pemain Liga Thai turut mendapat lamaran sebuah pasukan yang beraksi di MSL dengan tawaran yang agak lumayan.

Satu kebetulan?

Beraksi di Liga Thai, pemain yang dimaksudkan adalah pemain tengah menyerang, Kittisak Hoshin, atau turut dikenali sebagai ‘Tommy’ di kalangan rakan sepasukan.

Pemain itu sendiri turut mengesahkan telah dihubungi oleh pasukan MSL tersebut.

Kittisak Hoshin bagaimana pun kini dilaporkan masih lagi berharap untuk terus kekal beraksi di Thailand selepas beraksi bersama Supanbhuri FC pada musim lalu.

“Selepas musim lalu berakhir, Suphanburi FC telah melakukan banyak rombakan, termasuk mengecilkan skuad sedia ada untuk tujuan penstrukturan gaji.

“Perkara ini menyebabkan saya perlu mencari kelab baharu pada musim akan datang. Dan kini ada kelab dari Malaysia yang beraksi di MSL telah menghubungi saya.

“Dan tawaran diberikan sangat menarik, dan pelbagai rundingan telah dilakukan sebagai pilihan. Bagaimana pun keutamaan saya ialah supaya boleh beraksi bersama kelab dari Thailand,” jelas pemain itu.

Siapa Kittisak Hoshin?

Kittisak Hoshin kini berusia 28 tahun dan musim lalu tampil dalam 16 perlawanan liga untuk Suphanburi FC.

Beliau pernah menganggotai skuad bawah umur Thailand (B-16 dan B-19), sebelum memulakan karier profesional sebagai pemain bola sepak bersama Assumption United.

Selain itu pemain ini turut pernah menyertai beberapa pasukan lain di Thailand seperti Muangthong United, Nakhon Nayok FC, Pattaya United, Bangkok FC, Thai Honda FC, dan PT Prachuap FC .

Tindakan berani KDA FC?

Kedah DA FC sememnangnya dilaporkan sedang merombak skuad sedia ada untuk skuad yang lebih mantap menjelang pusingan kedua MSL.

Beberapa muka baharu dijangka akan dibawa masuk, termasuk pemain Jordan, Ahmad Israiwah.

Pasukan itu turut kehilangan beberapa pemain di jentera serangan seperti Syafiq Ahmad yang kembali menyertai JDT.

Sekiranya laporan Kittisak dilamar KDA FC, adakah ia perjudian yang bebaloi untuk mendapatkan pemain yang telah beraksi bersama banyak pasukan sebelum ini?

Sehingga kini Kittisak Hoshin telah beraksi bersama tidak kurang lapan pasukan di Thailand. Beliau juga bukan anggota skuad kebangsaan Thailand. Ini bermakna kualiti pemain ini boleh dipersoalkan.

Ketiadaan tawaran lain dari kelab Thai lain untuk khidmat Kittisak Hoshim pada ketika ini turut menimbulkan tanda tanya.

Kongsi artikel ini