Pemain Gitar Coldplay Sanggup Tinggalkan Dunia Seni Demi Tottenham

Jonny Buckland atau nama sebenarnya Jonathan Mark Buckland adalah seorang pemusik dan pencipta lagu dan merupakan pemain gitar kumpulan rock terkemuka Britain, Coldplay.

Berusia 45 tahun, Jonny sebenarnya bukan calang-calang pemusik kerana merupakan graduan University College London dan memiliki ijazah di dalam bidang Matematik dan Astronomi.

Beliau juga adalah salah seorang pengasas Coldplay bersama vokalis utama, Chris Martin, Guy Berryman (pemain base), dan Will Champion (pemain dram).

Seperti mana-mana lelaki Inggeris, Jonny juga adalah peminat sukan bola sepak, dan merupakan penyokong setia Tottenham Hotspur.

Sanggup tinggalkan dunia seni

Dalam satu temubual yang disiarkan di portal dunia muzik, Jonny pernah berkata beliau sanggup meninggalkan Coldplay dan dunia seni sekiranya mendapat peluang untuk beraksi sebagai pemain bola sepak profesional bersama Tottenham.

Merupakan penyokong setia Tottenham sejak zaman kanak-kanak, pendedahan tersebut dilakukan Jonny ketika ditemubual oleh media Tottenham.

Malah beliau berkata tidak kisah untuk meninggalkan dunia dan peranannya bersama Coldplay yang telah menjana jutaan ringgit hasil penjualan rekod demi peluang seumur hidup itu.

Menjelaskan perkara tersebut, Jonny berkata: “Saya berminat menyertai kumpulan kugiran pada usia 11 tahun. Tetapi ia adalah impian saya untuk bergelar pemain bola sepak profesional sejak usia lima tahun. Saya yakin, masih ada peluang untuk itu!” ujarnya sambil berseloroh.

Pasukan bola sepak sendiri

Dalam temubual tersebut Jonny turut mendedahkan vokalis utama Coldplay, Chris Martin adalah penyokong Exeter City yang kini beraksi di EFL League One.

Kerana minat di dalam bola sepak, Coldplay juga sebenarnya memiliki pasukan bola sepak mereka sendiri dan sering beraksi menentang pasukan-pasukan amatur di seluruh dunia di mana mereka mengadakan konsert.

“Ia cuma pasukan dengan 6 pemain (6 sepasukan). Kami sentiasa cuba beraksi menentang pasukan tempatan di mana sahaja kami berada ketika menjelajah dunia.

“Pasukan itu terdiri daripada saya sendiri dan Will [Champion], beberapa pemain lain di kalangan kru dan pegawai keselamatan beraksi sebagai penjaga gol.

“Penjaga gol kami memiliki susuk badan seperti gunung dan ia sentiasa sukar untuk membolosi beliau.

Coldplay akan mengadakan konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November akan datang, dan ia pasti idea yang menarik sekiranya mereka turut bermain bola sepak dengan mana-mana pasukan tempatan secara santai di negara ini.

Jualan tiket menyaksikan konsert siri jelajah Coldplay iaitu Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) akhirnya dibuka kepada orang awam sejak 10 pagi tadi, selepas dikhaskan buat pemegang kad CIMB semalam.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Coldplay Malaysia (@coldplaymalaysia)

Bagaimanapun, difahamkan peminat kumpulan rock popular dari Britain itu sudah bersedia dengan komputer riba dan telefon bimbit sejak jam 9 pagi bagi menunggu giliran.

Hasil tinjauan mendapati sistem pembelian secara dalam talian tidak mengalami sebarang gangguan seperti semalam.

Semalam, pemegang kad CIMB menghadapi kesukaran membeli tiket apabila laman web rasmi Go Live-Asia penjualan tiket konsert mengalami kesesakan selepas dibuka.

Namun, laman web berkenaan menerusi hantaran dimuat naik ke Instagram menafikan terdapat gangguan pada laman web, sebaliknya disebabkan trafik tinggi.

Kongsi artikel ini