Pemain Baharu Man Utd, Marc Jurado Pernah Rekod Jaringan Terpantas Di Sepanyol

Manchester United dilaporkan akan menandatangani wonderkid Barcelona, Marc Jurado pada musim panas akan datang dengan nilai perpindahan £1.5 juta untuk bek kanan itu.

Jurado beraksi bersama skuad Barcelona B-16 pada musim ini dilaporkan menolak kontrak baharu bernilai €60,000 setahun dan memilih untuk berhijrah ke Old Trafford.

Klip aksi pemain itu bersama Barcelona sudah pun mulai tular di atas talian, dan ramai yang kagum dengan aksi pemain muda ini.

Jurado adalah antara prospek yang dipandang tinggi di Nou Camp, tetapi United dilaporkan sudah melengkapkan rundingan untuk membawa pemain yang turut memegang rekod sebagai penjaring gol terpantas di peringkat remaja.

Dalam perlawanan menentang Viladecans pada 2013, pemain muda ini melakukan satu terjahan dan menjaringkan gol lima saat selepas sepak mula.

Ia adalah perlawanan B-10, dalam perlawawnan Divisyen Dua. Barcelona menang 9-0, dan gol jaringan Jurado hadngat diperkatakan pada ketika itu.

Barcelona dikatakan kecewa kerana kehilangan Jurado kepada United, dan kecewa dengan cara ejen beliau, Carlos Lavueva mengendalikan perpindahan tersebut.

Penyokong Manchester United pula kagum dan gembira dengan potensi yang mereka lihat dari pemain ini setakat ini.

Jurado bukanlah pemain pertama daripada akademi La Masia yang menyertai United. Sebelum ini Gerard Pique turut memilih untuk ke Old Trafford pada 2004 pada usia berusia 17 tahun, dan sempat membuat 10 penampilan sebelum kembali menyertai Barcelona pada 2006.

Disebabkan saingan peringkat belia di Sepanyol sudah ditamatkan, ini bermakna Jurado juga sudah beraksi buat kali terakhir untuk Barcelona, dan hanya perlu menunggu kontrak pada Jun ini berakhir untuk menyertai United.

Kongsi artikel ini