Pemain Arsenal Terbocor Kepada Media Tarikh EPL Bermula Kembali

Pemain tengah Arsenal, Dani Ceballos seperti tidak sengaja telah mendedahkan tarikh sebenar saingan Liga Perdana Inggeris akan dimulakan kembali selepas dua bulan ditangguhkan akibat penularan wabak coronavirus.

Menurut laporan Metro, Ceballos berkata saingan musim 2019/20 akan disambung kembali pada 20 Jun 2020.

“Kami akan kembali lewat satu minggu. Di Sepanyol, liga akan bermula kembali pada 12 Jun, dan kami [Premier League] pula akan menyusul pada 20 Jun 2020,” kata Ceballos ketika ditemubual oleh RTVE.

Kenyataan Ceballos saat itu mengejutkan ramai kerana setakat ini belum ada tarikh rasmi diberikan oleh pihak Premier League untuk saingan disambung.

Sepak mula kembali yang sememangnya dirancang pada Jun turut terganggu selepas enam individu disahkan telah dijangkiti wabak global tersebut selepas saringan dilakukan baru-baru ini.

Enam individu tersebut adalah pemain dan kakitangan dari tiga kelab. Sehingga kini, hanya Watford dan Burnley yang mengesahkan terdapat pemain dan kakitangan mereka dijangkiti wabak tersebut.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menjadi antara individu terawal dari Premier League yang dijangkiti wabak tersebut. Namun hasil saringan baru-baru ini menunjukkan keseluruhan skuad Arsenal kini bebas dari ancaman jangkitan.

“Pada 48 jam yang lalu, kami lulus ujian saringan,” kata Ceballos.

Ceballos adalah pemain berstatus pinjaman dari Real Madrid di Arsenal. Selepas tampil dalam 24 perlawanan, pemain berusia 23 tahun ini telah menyumbang dua assits.

Satu-satunya gol Ceballos untuk Arsenal adalah di pertandingan Liga Europa.

 

Kongsi artikel ini