Pelatih Program Kenari Kids Antara Mangsa Tragedi Banjir Di Baling

Pelatih program pembangunan bola sepak Kenari Kid, Khairul Izwan Bin Nor Azman adalah antara mangsa tragedi banjir yang melanda Baling baru-baru ini.

Kahirul Izwan, 14 tahun adalah antara tiga mangsa kejadian banjir lumpur yang melanda Kampung Iboi, di Baling, Kedah dua hari yang lalu.

Dalam kejadian pada 4 Julai lalu, Khairul Azwan adalah antara tiga sekeluarga yang dilaporkan hilang selepas tragedi yang tidak disangka-sangka tersebut berlaku.

Turut terkorban di dalam tragedi tersebut adalah ibunya, Salmah Mat Akib, 53 tahun dan kakak ipar kepada Khairul Izwan, berusia 23 tahun.

Persatuan Bola Sepak Kedah (Kedah FA) melalui satu kenyataan semalam mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas musibah yang melanda.

“Seluruh warga Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham adik Khairul Ikhwan Bin Nor Azman (14 tahun) serta dua orang ahli keluarganya yang terkorban dalam tragedi banjir di Baling,” ujar kenyataan itu.

“Allahyarham adik Khairul Ikhwan juga merupakan pelatih KENARI KID BALING yang dipercayai hilang bersama ibu dan kakak iparnya selepas rumah mereka dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air yang melanda akibat hujan yang berterusan di Kampung Iboi, Kupang di Baling Kedah petang semalam.

“Semoga Allah SWT merahmati rohnya, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan para solehin.”

Program Kenari Kids adalah program bola sepak peringkat pembangunan yang diadakan oleh Kedah FA dan telah melahirkan ramai bakat muda tempatan dari negeri itu.

Diadakan di setiap daerah di neger Kedah, program tersebut selama ini telah melahirkan ramai bakat bola sepak di negeri itu seperti Syafiq Ahmad dan juga Akhyar Rashid.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, ditemukan dalam keadaan baik dan tiada kesan kecederaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Sayani Saidon berkata, mayat mangsa ketiga ditemui tidak jauh dari kedudukan dua mayat sebelum ini dikesan pada 9.30 pagi semalam.

Kongsi artikel ini