Pejuang Berdarah Makasar, Jordi Amat Pernah Jadi 10 Gamers Terbaik Dunia ‘Call of Duty’

Tidak ramai yang mengetahu sebenarnya bakal pemain pertahanan JDT, Jordi Amat pernag bergelar antara 10 gamers terbaik dunia untuk permainan video terkenal, Call of Duty.

Pemain pertahanan kelahiran Sepanyol berdarah Indonesia itu menggunakan permainan video tersebut untuk menghilangkan tekanan ketika beliau masih beraksi bersama Swansea City.

Dan pada ketika itu, Jordi turut berseteru dengan rakan sepasukan, Angel Rangel di dalam permainan video tersebut.

Siri permainan video Call of Duty telah terjual lebih daripada 250 salinan sejak diperkenalkan pada 2003, dan Jordi bersama adiknya adalah antara pemain terbaik dunia untuk permainan tersebut beberapa tahun yang lalu.

“Saya bermain Call of Duty sepanjang hidup saya, dan saya dan adik bermain permainan itu sejak lebih 10 tahun yang lalu. Pada satu ketika kami pernah memegang kedudukan ke-8 dunia untuk pemainan video tersebut,” katanya kepada Soccerbible.com.

“Kami adalah gandingan yang sangat serasi, dan berkata, ‘Okay, sasaran kita adalah untuk berada di ranking 10 pemain terbaik, dan untuk tempoh sebulan kami berjaya mengekalkan kedudukan tersebut. Ia amat menyeronokkan.

“Konsol permainan pertama yang saya miliki adalah PlayStation 1 berwarna kelabu. Selain itu saya juga bermain permainan Crash Bandicoot – yang menjadi kegemaran saya.

“Saya berpendapat ia adalah cara untuk lari [sebentar dari bola sepak]. Saya tidak bermain [permainan video] setiap hari, tetapi jika saya boleh bermain beberapa jam bersama rakan-rakan, ia sudah memadai. Ia amat membantu untuk mengurangkan tekanan.

Bekas bek kanan Swansea, Angel Rangel yang kini sudah bersara adalah seteru utama Jordi Amat di dalam permainan Call of Duty.

Kehebatan Angel Rangel di dalam permainan itu turut diakui oleh Jordi Amat sendiri.

“Angel Rangel adalah seorang yang begitu kompetitif. Kami bersaing di dalam setiap perkara – di dalam padang, dan di luar padang sehingga kepada perkara terkecil,” tambah Jordi lagi.

“Tetapi kehidupan sebenar kami adalah bola sepak dan ia adalah impian sebenar saya sejak kecil untuk beraksi di tahap ini.”

Melalui sidang media oleh JDT pada malam tadi, pemilik kelab, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengumumkan Jordi Amat bakal menyarung jersi juara Liga Super Malaysia (MSL) dalam masa terdekat.

Jordi Amat kini turut di dalam proses menyelesaikan hal dokumentasi untuk membenarkannya beraksi bersama skuad kebangsaan Indonesia pada masa hadapan.

Jordi sebelum itu merupakan salah seorang pertahanan yang beraksi di Sepanyol untuk mewakili beberapa kelab di sana seperti Espanyol, Rayo Vallecano, serta Real Betis.

Jordi akan jadi sebahagian keluarga JDT dan jika semua proses mengenai pasportnya selesai, insya-Allah dia akan menyertai JDT dalam masa terdekat. Apa yang saya tahu ibunya berasal dari Makasar, Indonesia.

“Adalah satu kerugian jika Indonesia tidak mengambilnya untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan kerana dia pemain yang berpengalaman apabila beraksi lebih 100 perlawanan kompetitif di Eropah terutama di Sepanyol dan di England.

“Apapun kita tunggu sahaja proses berkenaan dan berharap dia akan menyertai JDT secepat mungkin,” kata Tunku Ismail pada majlis perjumpaan bersama penyokong JDT di bilik sidang media Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.

Kongsi artikel ini