Paulo Di Canio: Si Penghibur Penuh Kegilaan Yang Miliki Personaliti Seperti Gunung Berapi

Di dalam apa bidang sekalipun yang ingin kita ceburi, karakter akan menenteukan sejauh mana perjalanan kita. Ia akan menentukan sama ada akan berjaya. Ia juga yang akan memberikan musibah.

Bercakap mengenai karakter di dalam bola sepak, ia mengembalikan ingatan kami kepada bekas bintang West Ham penuh kontroversi, namun sentiasa memberikan kejutan kepada kita dari segi prestasi dan permainan di atas padang.

Pemain yang penulis maksudkan ialah Paolo Di Canio yang pernah menyarung jersi ‘The Hammers’ di antara 1999-2003. Pemain ini dianggap pemain yang penuh karakter kerana kegilaannya di dalam dan luar padang.

Pengenalan

Anda mungkin mengingati Paolo Di Canio sebagai salah seorang pengurus yang pernah mewarnai kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika bersama Sunderland pada 2013.

Selain itu Di Canio turut dikenali seorang pemain dari Itali memiliki kebolehan teknikal yang tinggi dan sentiasa menghiburkan sesiapa sahaja yang menonton perlawanan membabitkan beliau.

Di sebalik bakat luar biasa dan kebolehan yang sentiasa memberikan keterujaan di era kegemilagannya, Di Canio sentiasa dipalit insiden kontroversi sepanjang kariernya sejak dari permulaan

Kontroversi-kontroversi ini dikatakan sebagai penyebab pemain ini tidak pernah mencapai potensi sebenar yang dimilikinya.

Soalannya: Apakah potensi sebenar Paolo Di Canio di atas padang?

Permulaan di Lazio

Paolo Di Canio dilahirkan pada 9 Julai 1968 di bandar Rom dan dibesarkan dari kalangan keluarga kelas pekerja di daerah Quarticciolo.

Di zaman kanak-kanak, Di Canio merupakan seorang penyokong tegar kelab Lazio.

Beliau juga menganggotai kumpulan Irriducibili, iaitu sekumpulan penyokong yang memberikan nama buruk kepada kumpulan penyokong Ultras di Itali.

Pada tahun 1985 di usia 16 tahun Paolo Di Canio menandatangani kontrak pertamanya bersama kelab kesayangannya, Lazio;

Di Canio beraksi bersama Lazio selama lima tahun sebelum menyertai Juventus pada 1990 yang mengejutkan ramai pihak.

Selepas kejayaan menjulang Piala UEFA bersama Juventus pada tahun 1993, Di Canio dikatakan ‘tidak sekepala’ dengan pengendali kelab Turin tersebut pada masa itu, Giovanni Trapattoni.

Persengketaan tersebut mendorong Di Canio menyertai Napoli secara pinjaman pada musim 1993/94.

Semusim di Naples, Marcelo Lippi menyifatkan Di Canio sebagai pemain terbaik di Serie A yang beliau pernah saksikan pada masa itu.

Malangnya dua musim berikutnya ketika bersama AC Milan, Di Canio sukar mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama selepas ketibaan Ruud Gullit.

Gullit adalah pilihan utama Fabio Capello di posisi No.10 di San Siro.

Di Canio sekali lagi berbalah dengan pengurus di Milan dan ini menyebabkan beliau menyertai Celtic pada tahun 1996.

Bermaharajalela Liga Perdana Inggeris

Telah menghasilkan 15 gol dari 37 penampilan di Scotland, kebolehan Di Canio mulai mendapat perhatian kelab Inggeris.

Di Canio akhirnya menyertai Sheffield Wednesday pada tahun 1997.

Percaturan Sheffield Wednesday untuk mempercayai Di Canio nyata membuahkan hasil. Pada musim pertamanya di Liga Inggeris, Di Canio menjaringkan 14 gol dan merupakan penjaring terbanyak Wednesday pada musim tersebut.

Tetapi dari dahulu lagi, kehadiran Di Canio di sesebuah kelab sememangnya sebentar sahaja.

Beliau kemudiannya menyertai West Ham pada jendela perpindahan Januari 1999. Sekali lagi nama Paolo Di Canio menjadi idola dan kali ini di Uptown Park.

Sepanjang tempoh di Upton Park, Di Canio berjaya membantu West Ham untuk layak ke saingan Piala UEFA, menjaringkan 48 gol di dalam 118 penampilan untuk kelab London tersebut.

Hidupnya bagaikan sunyi tanpa kontroversi. Sekali lagi insiden di luar padang mengubah arah karier Di Canio.

Pertikaman lidah secara umum dengan pengurus Glenn Roeder pada 2003 menyebabkannya lari pula ke Charlton Athletic.

Walaupun telah menyambung kontrak untuk terus kekal bersama Charlton, Di Canio tidak mampu untuk menolak tawaran untuk menyertai kembali kelab kesayangannya Lazio.

Selepas 7 tahun di Liga Perdana Inggeris, Di Canio dikatakan menerima potongan gaji sebanyak 75% semata-mata untuk kembali menyertai kelab yang disokongnya sejak zaman kanak-kanak itu.

Buku baru di Lazio, kisahnya sama

Paolo Di Canio mungkin mendapat perpindahan yang beliau impikan untuk kembali ke Lazio. Namun demikian, kepulangan dirinya ke Lazio bukanlah seperti yang harapkan.

Di Canio mempunyai sejarah dan hubungan yang erat dengan kumpulan Ultras kelab tersebut. Kepulangan Di Canio ke Lazio menyebabkan pengaruh kumpulan Ultras semakin ketara di dalam kelab.

Ini memberikan publisiti negatif terhadap kelab.

Paolo Di Canio juga dilaporkan mempunyai masalah dengan rakan sepasukan dan sekali lagi bersengketa dengan jurulatih.

Skrip kontroversi Di Canio seakan berulang. Akhirnya Di Canio dilepaskan pada musim panas 2006, sebelum menyertai Cisco Roma, sebuah kelab C2 di divisyen ke-4 bola sepak Itali.

Kontroversi

Di Canio merupakan seorang pemain yang gemar menongkah arus dan melanggar peraturan yang ditetapkan. Kekerapan pemain ini mengalami masalah amat luar biasa.

Beliau juga tidak pernah berfikir dua kali untuk meluahkan pendapat dan pandangan kepada umum, menyebabkan Di Canio dilabel sebagai seorang pemain yang besar kepala dan sukar diurus.

Persengketaan dengan pengurus dan jurulatih seperti Ron Atkinson, Glenn Roeder, Fabio Capello dan Marcelo Lippi menyebabkan karier Di Canio sering berpindah kelab.

Di Canio hanya mampu menyalahkan personaliti luar jangka dan perangainya sendiri untuk ini.

Pada 1998, anda pasti ingat insiden Paolo Di Canio menolak pengadil Paul Alcock sehingga terduduk ketika mewakili Sheffield Wednesday menentang Arsenal di Highbury.

Akibatnya beliau digantung 11 perlawanan serta denda £10,000 kerana perbuatannya itu.

Sepanjang kariernya, sukar untuk kita memahami mengapa Di Canio sukar mengikut arahan dan peraturan mudah yang sebenarnya adalah perkara biasa untuk mana-mana pemain profesional.

Mungkin kerana itu, Di Canio tidak pernah dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan Itali walaupun menyedari bakat luar biasa yang dimiliki oleh pemain ini.

Kehadiran Di Canio di sesebuah kelab seolah-olah seperti gunung berapi aktif yang hanya menunggu masa untuk meletuskan laharnya.

Pada Januari 2005, Di Canio menjaringkan satu gol cantik dan meraikannya bersama-sama penyokong Lazio dengan kaedah seperti mengagungkan pemimpin fahaman fascist, Benito Mussolini.

Walaupun menafikan perkara ini, tattoo dengan tulisan DVX pada lengannya pasti tidak membantu. Tulisan tersebut adalah kaedah di Latin untuk merujuk kepada Benito Mussolini

Saat indah ciptaan Di Canio

Harry Redknapp pernah memberi gambaran mengeai Di Canio seperti ini:

“Di Canio akan mengkagumkan anda ketika bola di kakinya. Pemain lain sanggup untuk membayar, hanya untuk menyaksikan Di Canio menjalani latihan.”

Ini menjelaskan satu perkara iaitu akksi Di Canio akan menghiburkan sesiapa sahaja. Tidak keterlaluan jika kita mahu menyifatkan Di Canio sebagai pemain yang memiliki kualiti ‘football brain’ yang tinggi.

Jaringan volley Di Canio pada 1999 ketika menentang Wimbledon dalam aksi EPL dipilih sebagai pemenang anugerah BBC Goal of the Season.

Di Canio turut dipilih sebagai pemain terbaik West Ham oleh penyokong kelab berkenaan pada musim yang sama.

Tindakan beliau yang mematikan hantaran lintang dengan tangan ketika permainan untuk menghentikan perlawanan ketika penjaga gol Everton sedang kesakitan kerana kecederaan juga merupakan satu tindakan terpuji.

Di Canio boleh sahaja menjaringkan gol untuk pasukannya pada ketika itu. Tindakannya itu menyebabkan Di Canio dianugerahkan anugerah FIFA Fair Play.

Rumusan: Kagum atau benci

Kagum atau benci, apa sahaja pendapat anda satu perkara yang pasti ialah Di Canio adalah pemain yang akan memberikan setiap keringat dan upaya ketika berada di atas padang.

Tidak hairanlah watak Di Canio sentiasa menjadi pujaan penyokong dan peminat, tanpa mengira kelab yang diwakilinya termaasuklah di West Ham sehingga ke hari ini.

Pemain ini memang memiliki karakter yang unik. Sukar untuk memberikan definisi terbaik untuk pemain seperti Paulo Di Canio.

Kongsi artikel ini