“Patutlah Pejabat AFC Di KL” – Jurulatih PSM Makasar Beri Komen Sarkastik Anggap AFC Berkonspirasi Dengan KL City

Ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares jelas tidak berpuas hati dengan perubahan jadual secara tiba-tiba membabitkan pasukannya di pertandingan Piala AFC pada musim ini.

Malah Tavares secara menyindir berkata ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang berada di Kuala Lumpur menjadi antara sebab skuad kendalian Bojan Hodak, KL City mendapat kelebihan atas perubahan jadual tersebut.

“Pada April lalu, jadual asal perlawanan menentang KL City adalah pada pada 24 Jun, dan 30 Jun pula [PSM Makasar] berhadapan pasukan lain (Tampines Rovers),” jelas Tavares.

“Kemudian berlaku sesuatu [perubahan] pada Mei, dimana jadual telah berubah. Kami terpaksa bermain pada 24 dan 27 Jun. Ia [bukan] merupakan satu kebetulan yang cukup ketara.”

“Sekiranya ingin bermain di pertandingan sebesar ini, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Saya berharap AFC tidak membiarkan hal seperti ini berulang lagi di masa akan datang.”

“Satu kebetulan juga [pejabat] AFC berpengkalan di Kuala Lumpur, yang memungkinkan perubahan keputusan [jadual] itu.”

Teori konspirasi dari Makasar?

Sukar untuk kita membayangkan bagaimana Tavares memiliki idea dan teori konspirasi ibu pejabat AFC yang berada di Bukit Jalil menjadi sebab utama kelebihan menjadi milik KL City FC di pertandingan Piala AFC.

“Saya bertanggapan pasukan KL City tidak perlu bertandang ke Singapura atau Indonesia kerana pasukan ini sudah berada di sini.

“Jadi saya tidak faham mengapa mereka mempunyai jurang enam hari dalam jadual perlawanan. Sedangkan pasukan lain hanya tiga hari,” jelas beliau lagi.

“Saya berpendapat ia tidak bagus untuk imej AFC. Sekiranya anda mahu membantu [beri kelebihan], lebih baik membantu dengan kaedah lain.”

PSM Makassar akan berhadapan dengan KL City pada aksi sulung jam 8.00 malam ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras.

Kongsi artikel ini