Patutkah Rodney Calvin Turut Dilayangkan Kad Merah Kerana Insiden Ini?

JDT berjaya menewaskan Kedah Darul Aman FC dengan jaringan 3-1 walaupun selepas ketinggalan terlebih dahulu, sebelum beraksi dengan hanya 10 pemain pada babak kedua perlawanan.

Bergson da Silva terlebih dahulu berjaya memadam kelebihan satu gol pasukan tuan rumah, sebelum pemain itu menerima layangan kad merah atas tindakannya menumbuk kepala pemain pertahanan Kedah, Rodney Calvin pada penghujung babak pertama perlawanan.

Situasi tersebut memaksa pengendali skuad Harimau Selatan, Hector Bidoglio merombak jentera serangan pasukan, memasukkan Syafiq Ahmad untuk menggantikan Akhyar Rashid.

Keputusan pengadil dipertikai

Keputusan pengadil perlawanan, Hamdan Awang melayangkan kad merah kepada Bergson sememangnya tidak dapat dipertikaikan.

Malah pengadil dilihat tiada pilihan lain selain memberikan arahan keluar padang kepada pemain import dari Brazil itu selepas pemain itu begitu jelas menghayunkan tangannya ke arah kepala Rodney.

Sama ada hayunan tersebut tepat mengenai kepala Rodney atau tidak, ia adalah perkara lain. Tetapi pada situasi tersebut, Bergson jelas gagal mengawal emsoi beliau sehingga bertindak sedemikian.

Beberapa keputusan pengadil kemudiannya turut dipertikaikan oleh pemerhati bola sepak tempatan.

Antaranya sama ada Rodney yang terlibat di dalam insiden dengan Bergson pada ketika itu masih layak beraksi di tengah padang sehingga mengundang layangan kad merah kepada pemain dari Brazil itu.

Insiden minit ke-9 itu menyaksikan Rodney menjatuhkan Akhyar Rashid yang sedang meluru ke arah gawang Kedah.

Di dalam situasi tersebut, Akhyar boleh dianggap mempunyai peluang terbuka untuk menjaringkan gol dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol sekiranya tidak dijatuhkan.

Buku peraturan FIFA

Berdasarkan semakan yang dilakukan daripada Buku Peraturan FIFA, kesalahan yang dilakukan oleh Rodney Calvin dianggap sebagai cubaan menghalang Akhyar daripada memperolehi peluang terbuka untuk mendapatkan peluang menghasilkan jaringan.

Peraturan yang terkandung di muka surat 97 Buku Peraturan FIFA itu jelas mengatakan kad merah atau arahan keluar padang harus diberikan di dalam keadaan pemain cuba menghalang jaringan atau peluang jaringan yang ketara oleh pihak lawan, apabila pemain lawan berada di posisi menhadap gol [untuk menyempurnakan peluang], di mana kesalahan biasa adalah dihukum dengan sepakan percuma.

Di dalam situasi tersebut, Rodney adalah pemain pertahanan terakhir pasukan apabila Akhyar berjaya meloloskan diri daripada garis pertahanan akhir pasukan Kedah.

Akhyar dijatuhkan oleh Rodney di dalam situasi pemain pertahanan itu turut tidak melakukan sentuhan langsung terhadap bola.

Di dalam bola sepak, kesalahan sebegini digelar sebagai profesional foul/tactical foul yang sepatutnya tidak berlaku.

Professional foul dalam sukan bola sepak ditafsirkan sebagai  pelanggaran/kekasaran yang dilakukan demi kepentingan pasukan. Biasanya ia turut disebut dengan istilah tactical foul. Seperti namanya pelanggaran seperti ini hanya dilakukan oleh pemain profesional.

Pelanggaran seperti ini dilakukan kerana pemain bertahan tidak mampu menjaga pemain penyerang dengan cara “bersih”, sehingga tiada pilihan untuk mengasarinya – baik secara sengaja atau pun tidak disengajakan.

Maka di dalam situasi tersebut, pengadil perlawanan sepatutnya memberikan layangan kad merah kepada Rodney Calvin.

Kongsi artikel ini