Park Hang-seo Pernah Tawarkan Diri Kendali Harimau Malaya Untuk Tinggalkan Vietnam

Jurulatih Korea Selatan, Park Hang-seo dikhabarkan pernah menawarkan diri kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menjadi Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya.

Malah untuk berbuat demikian, jurulatih berusia 65 tahun itu dikatakan sanggup meninggalkan posisinya bersama skuad kebangsaan Vietnam.

Minat daripada Park Hang-seo untuk melatih skuad negara, dipercayai berlaku sekitar Januari tahun lalu, selepas Tan Cheng Hoe sah meninggalkan pasukan negara.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada ketika itu turut mengesahkan telah menerima beberapa tawaran daripada jurulatih di dalam dan luar negara untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tan Cheng Hoe.

FAM bagaimanapun kemudiannya mengesahkan ketibaan Kim Pan-gon selepas melakukan tapisan sesuai dengan perancangan jangka masa panjang badan induk bola sepak negara itu untuk pasukan senior kebangsaan di pentas antarabangsa.

Perkhabaran mengenai situasi Park Hang-seo itu didedahkan oleh seorang pemerhati bola sepak tempatan yang juga merupakan penyokong setia Harimau Malaya, Piang Shankly di Twitter baru-baru ini.

Jika difikirkan, ia tidak menghairankan Park Hang-seo berminat ke Malaysia pada ketika itu selepas rundingan untuk menyambung kontrak bersama Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF) yang berbaki setahun gagal mencapai titik persetujuan di antara kedua-dua pihak.

Jurulatih paling berjaya di dalam sejarah bola sepak Vietnam itu kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas kontraknya bersama Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) secara rasmi tamat pada penghujung bulan ini.

Berbanding di Vietnam, Malaysia juga memiliki populasi penduduk Korea Selatan yang lebih ramai dan ia sudah tentu akan memudahkan jurulatih itu yang selama ini terpaksa berkomunikasi menggunakan pakar penterjemahan.

Baru-baru ini Park Hang-seo turut tampil menafikan perkhabaran beliau berminat untuk mengendalikan skuad kebangsaan Indonesia yang pada masa kini dikendalikan oleh pasukan senegaranya, Shin Tae-yong.

Sejak tiba untuk mengendalikan Vietnam pada 2017, Park Hang-seo telah mencapai pelbagai kejayaan bersama Vietnam. Antaranya adalah kejuaraan Piala AFF 2018, dan dua pingat emas di Sukan SEA pada 2019 dan 2021.

Turut berjaya membawa Vietnam mara ke Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar pada Januari hadapan, Park Hang-seo turut pernah mengejutkan ramai apabila membawa skuad B-23 Vietnam muncul nain juara Piala AFC B-23 2018 yang berlangsung di China.

Kongsi artikel ini