Park Hang-seo Bawa Juruanalisis Menyamar Jadi Penyokong Thailand Intai Kekuatan Harimau Malaya

Perlawanan membabitkan Thailand dan Malaysia di Kejohanan King’s Cup turut mendapat perhatian Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo.

Malah kelibat jurulatih dari Korea Selatan itu turut kelihatan di Stadium Chiang Mai, di kalangan ribuan penyokong Thailand.

Di dalam perlawanan tersebut, pasukan negara kendalian Kim Pan-gon menewaskan Thailand melalui penentuan sepakan penalti selepas masa sebenar perlawanan berakhir dengan jaringan 1-1.

Mungkin kerana enggan kehadirannya diketahui, Park Hang-seo memilih untuk berada di kalangan penyokong Thailand dan bukannya di tempat duduk VIP – yang sememangnya boleh diperolehi oleh beliau melalui permohonan Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF).

Namun demikian kehadiran Park Hang-seo bersama beberapa pembantunya tidak terlepas daripada perhatian penyokong Thailand yang sempat mengambil foto dan memuat naik foto tersebut di sebuah ruangan forum bola sepak Thai.

Turut bawa juruanalisis

Turut hadir bersama jurulatih dari Korea Selatan itu di Stadium Chiang Mai adalah pembantunya, Anh Duch, dan juruanalisis pasukan, Park Sung-gyun yang bertugas mengambil nota sepanjang perlawanan berlangsung.

Walaupun hanya sekadar kejohanan jemputan berstatus perlawanan persahabatan antarabangsa, Thailand dan Malaysia membariskan barisan pemain terbaik yang dimiliki kedua-dua pasukan.

Thailand turut menurunkan beberapa pemain utama yang menjuarai Piala AFF 2020 pada Januari lalu seperti Chanathip Songkrasin, Supachok Sarachat, Kritsada Kaman dan Theerathon Bunmathan.

Thailand dan Malaysia mungkin pasukan yang sudah biasa dihadapi oleh Park Hang-seo bersama Vietnam. Namun sejak skuad kebangsaan Harimau Malaya diambil alih oleh rakan senegaranya, Kim Pan-gon, Vietnam belum pernah melalui sebarang perlawanan menentang Malaysia.

Di dalam perlawanan tersebut, Kim Pan-gon  menurunkan beberapa muka baharu seperti Declan Lambert, Azam Azmi dan. Hang-seo juga sedar corak permainan pasukan negara turut telah berubah sejak diambil alih oleh Kim Pan-gon.

Ia bukan menghairankan mengapa Park Hang-seo begitu berminat untuk menyaksikan perlawanan ini. Malaysia diundi bersama-sama Vietnam untuk kejohanan Piala AFF 2022 yang akan bermula pada Disember ini dan Vietnam turut berpotensi berhadapan Thailand di peringkat separuh akhir.

Prak Hang-seo sendiri sebenarnya sibuk dengan kejohanan tiga penjuru yang berlangsung di Ho Chi Minh City melibatkan Vietnam, Singapura dan India.

Selepas menewaskan Singapura 4-0 baru-baru ini dengan majoriti pemain muda, Park Hang-seo dan pembantunya dilaporkan meninggalkan hotel penginapan pada pagi berikutnya (semalam) untuk terus terbang ke Chiang Mai semata-mata untuk menyaksikan pertemuan di antara Malaysia dan Thailand.

Park Hang-seo jurulatih paranoid

Mengapa kami katakan Park Hang-Seo paranoid? Ini kerana pada pertemuan pertama Vietnam dan Malaysia di kempen kelayakan pada 2019, Park Hang-seo bertindak menukar tempat latihan skuadnya ke lokasi tertutup selepas mendakwa persediaan akhir mereka akan diintip skuad Malaysia.

Beliau begitu pantang pasukannya diintip oleh pasukan lawan. Tetapi beliau sendiri tidak akan terlepas setiap peluang yang ada untuk mengintai keupayaan dan taktikal pasukan lawan setiap kali berpeluang berbuat demikian.

Malah selepas kemenangan selesa ke atas Singapura baru-baru ini, Park Hang-seo turut mengakui tidak akan menampilkan kekuatan sebenar Vietnam sebelum Piala AFF 2022 nanti.

“Baik Vietnam atau Singapura, kedua-dua pasukan boleh tampil di Piala AFF 2022 dengan bentuk baru. Bahkan kami dan Vietnam pun sama. Sebagai jurulatih, semua pasukan takut mengeluarkan barisan terbaik,” kata Park Hang -seo.

Maka tidak hairanlah mengapa Park Hang-seo terbang secara senyap-senyap ke Chiang Mai dan seperti menyamar sebagai penyokong bola sepak Thailand untuk menyaksikan perlawanan ini.

Kongsi artikel ini