Panas : Hubungan Paul Pogba Bersama Setan Merah Berakhir?

Ejen super , Mino Raiola sekali lagi membuat kejutan apabila menyatakan bahawa hubungan Paul Pogba bersama dengan kelab gergasi Manchester United telah pun berakhir sekarang.

“Pogba memang sangat tidak gembira bersama dengan Manchester United sekarang ini. Dia mahukan angin baru. Dia mahu berpindah dari kelab itu tahun depan.”

Laporan ini disebut dalam satu wawancara ejen itu dengan Tuttosport yang dikongsikan oleh Fabrizio Romano di laman Twitter-nya sebentar tadi.

Paul Pogba yang bergelut dengan kecergasan sejak musim yang lalu akibat kecederaan dan ketidaktentuan prestasi telah menjaringkan gol cantik ketika membantu Red Devils menewaskan West Ham United 3-1 awal pagi Ahad yang lalu.

Menurut perkongsian wartawan sukan tersohor dunia itu lagi , Pogba sepatutnya boleh keluar dari Manchester United apabila jendela perpindahan pemain pada Januari 2021 akan dibuka nanti. Kontrak Pogba bersama kelab itu mempunyai 18 bulan lagi sehingga Jun 2022.

Sekiranya pemain itu enggan menandatangani kontrak baru , maka Ed Woodward tidak boleh berbuat apa-apa melainkan terpaksa menjual Pogba daripada melepaskannya secara percuma.

Pemain itu pernah menjadi pelatih muda di Old Trafford sebelum dibeli kelab dari Italy Juventus pada tahun Jun 2012 semasa zaman Sir Alex Ferguson dengan bayaran $15 juta sebelum kembali ke pangkuan Red Devils dengan harga yang tinggi $86 juta bawah jurulatih Jose Mourinho pada tahun 2016.

Mino Raiola pernah membuat kenyataan kritikan kontroversi pada musim lepas kepada pengurusan tertinggi Manchester United apabila tidak membenarkan Paul Pogba untuk meninggalkan Old Trafford selepas pemain itu meminta untuk dilepaskan. Ed Woodward membalas kenyataan ejen tersebut bahawa Pogba perlu menghormati kontraknya yang sedia ada.

Pogba tidak pernah berselindung bahawa beliau ingin bermain di Real Madrid yang merupakan sebagai kelab impian dalam hidupnya yang mesti dipenuhi. Bagaimanapun dikatakan Juventus juga mahukan Pogba kembali ke San Siro berganding dengan jurulatihnya Andrea Pirlo yang pernah berganding dengan Pogba dan membentuknya menjadi pemain terbaik dunia lima tahun yang lalu.

Kini Pogba bersama dengan rakan sepelatihnya telah menuju ke Jerman untuk perlawanan Liga Juara Eropah (UCL) menentang RB Leipzig esok Rabu jam 4.00 pagi di Red Bull Arena. Skuad Ole Gunnar Solksjaer mesti menang dalam pertemuan ini untuk melayakkan mereka ke pusingan kalah mati dalam kumpulan H.

Kongsi artikel ini