“Panaih Tak Pa, Koyak Jangan La” – Sanusi Dan TMJ Teruskan Adegan ‘Tembak Menembak’

Hubungan di antara Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (Kedah FA), Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor dan pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sememangnya sentiasa mencuri perhatian ramai.

Kedua-duanya sebelum ini pernah saling mengkritik dan melakukan banter atau troll di antara satu sama lain. Adakalanya usikan di antara kedua-duanya tampak begitu serius. Adakalanya ia mencuit hati pemerhati bola sepak tempatan.

Kisah Sanusi dan TMJ berterusan

Kisah TMJ dan Sanusi nampaknya masih lagi berterusan berdasarkan muat naik terbaru kedua-dua individu yang dianggap antara watak berpengaruh bola sepak Malaysia pada hari ini.

Segalanya bermula daripada satu muat naik oleh Sanusi di Facebook yang membuat komen mengulas mengenai sesi bertemu penyokong di antara TMJ dan penyokong JDT baru-baru ini.

“Yang nampak dok kalut pasai jurulatih pasukan lain tu pasai apa? Agaknya pasai jurulatih tu dia takleh nak call direct mcm dia dok call jurulatih team lain sebelum ni kot!” tulis beliau dipercayi merujuk kepada komen TMJ mengenai situasi Lim Teong Kim bersama Perak FC.

Yang nampak dok kalut pasai jurulatih pasukan lain tu pasai apa? Agaknya pasai jurulatih tu dia takleh nak call direct…

Posted by Muhammad Sanusi Md Nor on Wednesday, September 21, 2022

Sanusi kemudiannya turut mengungkit kembali perjanjian pinjaman pemain di antara Kedah FC dan JDT dipercayai membabitkan Syafiq Ahmad.

“Cerita dia nak ambik balik player pinjaman pun, dia call jurulatih dgn player direct jaaa suruh balik, padahal perjanjian pinjaman dibuat antara pengurusan team A dengan pengurusan team B, bukan dengan jurulatih pun… nampak dak kerek dia?

“Dia ingat dia boleh buat semua benda dan org lain takleh kata apa kat dia ka? Ni tahun 2022 dah cik oiii… bukan tahun 1422.”

Walaupun tidak manyatakan nama TMJ secara khusus, muat naik tersebut sememangnya dilihat merujuk kepada pemilik kelab Harimau Selatan itu.

Respon balas TMJ

Tidak berdiam diri, TMJ turut memiliki peluru beliau sendiri dan membalas komen oleh Sanusi melalui IG Story.

“Dari dulu baik zip aja mulut tu. Makin banyak bunyi makin terserlah kebodohan. Pegang semua benda gagal.

“Negeri gagal, economy gagal, sukan gagal, semua gagal. Ini Namanya expert of gagal/failure,” komen TMJ yanbg disertakan dengan gambar badut McDonald dan hidangan burger.

Jawapan balas daripada TMJ tidak terhenti di situ sahaja apabila Sanusi turut melakukan satu lagi muat naik ringkas melalui Facebook.

“PANAIH TAK PAAA… KOYAK JANGAN LAAA..” Ujar beliau ringkas sambil berkongsi beberapa foto termasuk dirinya yang sedang menghidang teh tarik berkemungkinan sebagai tanda bertenang dan minum-minum dulu.

Apa-apa pun bagi peminat bola sepak tempatan, anggap sahaja perkara ini sebagai hiburan dan tidak perlulah kita berlebihan ketika memberi komen.

Tatkala Liga Malaysia sedang berehat panjang, kejadian ‘tembak menembak’ di antara Sanusi dan TMJ ini sedikit sebanyak membuatkan kita tidak lupa akan saingan bola sepak tempatan.

Kongsi artikel ini