‘Padang Macam Bendang’ Antara 5 Perkara Setelah Malaysia Berputih Mata Di Halaman Sendiri

Malaysia tewas 2-1 kepada Bahrain di pusingan kelayakan Piala Asia sebentar tadi. Ia kekalahan yang mengecewakan, namun ini tidak bererti cabaran pasukan negara telah tamat.

Apa yang boleh kita kupas daripada perlawanan sebentar tadi.

Corak permainan menyerang

Malaysia menuju ke perlawanan ini untuk memburu satu mata. Kebiasaannya, pasukan yang memburu keputusan seri akan lebih selesa bertahan.

Namun Kim Pan-gon dan barisan anak buahnya mempunyai idea tersendiri dan mempamerkan corak permainan menyerang.

Ia adalah bola sepak yang cukup positif dipamerkan oleh bola sepak negara, membuktikan pasukan ini memiliki mentaliti berbeza di bawah kendalian jurulatih dari Korea Selatan itu.

Gerakan menarik pada babak kedua perlawanan menyaksikan pasukan negara berjaya mendahului perlawanan melalui Mohamadou Sumareh.

Variasi dan depth

Beberapa perubahan ketara dilakukan pada line-up pasukan Malaysia kali ini. Akhyar Rashid dan Mohamadou Sumareh menggantikan Faisal Halim dan Arif Aiman di bahagian sayap.

Nazmi Faiz pula digandingkan dengan Syamer Kutty di jentera tengah, dan gandingan Dion Cools-Junior Edstal-Khuzaimi Piee membentuk rangkaian sistem tiga bek tengah.

Ia adalah sistem yang berbeza ketika perlawanan menentang Turkmenistan tempoh hari. Dalam perlawanan terdahulu, Pan-gon menggunakan sistem 4-3-3 sebelum mengubah pendekatan pada babak kedua.

Menentang Bahrain yang lebih fizikal, jurulatih dari Korea Selatan ini menggunakan sistem 3-4-3 yang akan berubah menjadi 5-4-1 ketika bertahan.

Ini membuktikan Pan-gon mempunyai perancangan dan variasi di dalam taktikal, selain memiliki barisan pemain yang diperlukan untuk berbuat demikian.

Keadaan padang

Sukar untuk tidak menyentuh keadaan padang yang teruk selepas hujan lebat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebelum sepak mula.

Siapa tahu dengan beberapa peluang dimiliki pasukan negara, keadaan mungkin berbeza selepas tamat babak pertama perlawanan.

Keadaan padang yang teruk memaksa kedua-dua pasukan menukar set jersi masing-masing sebelum memulakan separuh masa kedua.

Mana-mana pemain pun akan cepat keletihan kerana beraksi di padang yang dianggap ‘berat’.

Fokus masih masalah

Sedikit fokus yang hilang, terus menghukum pasukan negara. Bahrain sebenarnya tidak beraksi sebaik yang dijangkakan.

Tetapi pasukan ini bijak menghukum pasukan negara setiap kali pasukan negara hilang fokus.

Jaringan pertama Bahrain yang merupakan gol penyamaan perlawanan berlaku setelah barisan pertahanan hilang ‘shape’, selepas fokus terarah kepada kecederaan yang menimpa Sumareh.

Gol kedua pula disebabkan kesilapan penjaga gol. Gagal dengan bola pertama, Farizal sepatutnya kembali pantas ke posisi.

Sebaliknya beliau melakukan terjahan tidak perlu tatkala penyerang lawan tidak berhadapan/facing dengan gol yang memberikan sepakan penalti kepada Bahrain.

Apa lagi untuk Malaysia?

Apa lagi untuk Malaysia selepas ini? Kekalahan kepada Bahrain bermakna peluang pasukan negara layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 secara automatik semakin sukar.

Namun demikian, skuad Kim Pan-gon masih mampu melayakkan diri sekiranya berjaya menewaskan Bangladesh pada 14 Jun hadapan dengan jaringan yang selesa.

Selain daripada juara setiap kumpulan, lima naib juara terbaik akan layak ke Piala Asia 2023.

Pasukan negara harus kembali mengumpul moral yang hilang, dan bangkit kembali dalam perlawanan menentang Bangladesh nanti.

 

Kongsi artikel ini