‘Omong Kosong’ Kedah FA – Pemain Harap Gaji Dilangsai

Bola sepak dan politik sukar dipisahkan. Itu kata sebahagian daripada mereka. Persoalannya ialah adakah ianya membawa lebih banyak kebaikan atau keburukan?

Terbaru ialah nasib pemain dan pegawai pasukan Kedah FA yang dikatakan hilang sumber pendapatan selepas mereka dikatakan masih tidak menerima sebarang bayaran gaji daripada pihak pengurusan – sepertimana yang dijanjikan.

Kemelut politik yang melanda pemerintahan negeri itu juga dilihat tidak membantu keadaan semasa.

Oleh kerana itu Ramadan pada tahun ini boleh dianggap sebagai dugaan yang cukup besar buat skuad Lang Merah. Kedah FA dikatakan mempunyai anggaran tunggakan berjumlah RM2.7 juta sejak Feburuari lalu.

Untuk rekod, masalah pembayaran gaji Kedah FA bukan kali pertama dilaporkan. Tetapi adakalanya ia dibidas dengan sinis oleh pihak berkenaan.

Sekarang apa dah jadi? Di manakah gaji pemain dan pegawai pasukan seperti yang telah dijanjikan sebelum ini?

“Saya harap perkara ini tidak menjejaskan moral pasukan dan paling penting, kami mengharapkan sesiapa yang akan menjaga skuad bakal memberi sokongan 100 peratus,” kata Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak ketika dihubungi wartawan Astro Arena.

Janji atau lebih tepat, omong kosong pemain akan menerima baki 70% gaji Februari, hujung minggu lalu dan disusuli gaji Mac serta April sebelum Aidilfitri buat masa ini hanya illustrasi penyedap hati semata-mata

“Saya yakin pihak kebajikan KFA akan lakukan yang terbaik serta membuat keputusan dengan cara terbaik. Apa yang kami harap, menjelang raya akan ada sesuatu yang menggembirakan,” ujar penggempur Kedah, Zaquan Adha Abdul Radzak yang masih optimis sesuatu akan dilakukan.

Bagi Kpah Sherman pula, beliau memahami situasi sukar yang melanda semua pihak.

“Semua harus faham situasi tetapi kami mempunyai keluarga dan memerlukan wang. Apa yang boleh kami lakukan adalah berdoa dan mengharapkan seseorang hadir untuk menyelesaikan situasi ini,” kata Kpah Sherman yang baru menyertai skuad Lang Merah pada musim ini.

Respon bagaimanakah lagi yang kita harapkan dari pengurusan Kedah FA selepas ini?

Benar, akhirnya tuding menuding akan terus berlakiu. Salah itu, salah ini. Mangsanya tetap pemain dan pegawai pasukan itu sendiri. Demikianlah politik dan bola sepak.

 

Sumber: Stadium Astro

Kongsi artikel ini