Ollerenshaw Tempelak Giancarlo Label JDT Pasukan Hebat, Tetapi Ramai Pakar Terjun ‘Level’ Sukan Olimpik

Legenda Sabah, Scott Ollerenshaw bertindak menegur rakan senegaranya, Giancarlo Gallifuoco yang melabel pasukan JDT sebagai sebuah pasukan yang hebat, tetapi turut dibarisi ramai pemain yang gemar menjatuhkan diri persis pakar terjun di Sukan Olimpik.

Pemain import KL City itu baru-baru ini melalui satu ciapan di Twitter berkata: “JDT tanpa sebarang keraguan adalah sebuah pasukan berkualiti dan memiliki ramai pemain berkualiti.

“Tetpi kekerapan mereka menjatuhkan diri [ketika perlawanan] ibarat [penerjun] di Sukan Olimpik.”

Untuk menggambarkan maksud ciapannya itu, pemain pertahanan tinggi lampai itu turut berkongsi sebiah GIF menampilkan seorang lelaki melakukan terjunan di sebuah kolam renang.

Ciapan itu dilakukan dua hari lalu ketika JDT beraksi menentang Selangor FC di perlawanan akhir Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil.

JDT muncul juara Piala Malaysia 2022 selepas bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menang 2-1 ke atas Selangor FC dalam perlawanan akhir tersebut.

Kejuaraan Piala Malaysia tersebut bermakna JDT melalui keseluruhan musim dengan membolot setiap trofi yang dipertandingkan tanpa sebarang kekalahan.

Ollerenshaw tempelak Giancarlo

Mungkin tidak senang dengan perbuatan rakan senegaranya yang dianggap Ollerenshaw tidak bersyukur kerana berpeluang mencari rezeki di negara ini, bekas penyerang import Sabah FC yang juga merupakan Pengarah Teknikal kelab dari Borneo itu turut bersuara.

“Adakah anda kini sudah seperti menjadi seorang bintang ternama?” Persoal Ollerenshaw.

“Anda tidak boleh melakukannya [berkarier] di Australia, maka anda sepatutnya bersyukur kerana masih mampu meneruskan kehidupan di sini [Malaysia] dan tak payahlah bising mengenai pasukan lain, terutamanya yang berterusan memenangi trofi, dan belum dibicarakan lagi prestasi [JDT] di ACL yang membantu pasukan lain di Malaysia beraksi di [pentas] Asia.”

Melalui ciapan yang sama, Scott Ollerenshaw turut meletakkan tag @HRHJohorII

Walaupun boleh dianggap sebagai teguran, ciapan Ollerenshaw itu juga seperti bernada marah terhadap Gaincarlo.

Benteng utama KL City

Giancarlo Gallifuoco adalah pemain pertahanan utama skuad warga kota sejak dua musim lalu, dan membantu KL City muncul juara Piala Malaysia 2021.

Musim ini Giancarlo meneruskan prestasi cemerlang membantu skuad Bojan Hodak muncul naib juara Piala AFC.

Merupakan pemain antarabangsa Australia untuk peringkat umur Bawah-17, Bawah-20 dan Bawah-23, Giancarlo bagaimanapun masih gagal memikat Graham Arnold untuk dipilih menyertai skuad kebangsaan Australia yang kini sedang beraksi di Piala Dunia di Qatar.

Pemain pertahanan berusia 28 tahun itu dijangka kekal bersama KL City untuk saingan Liga Malaysia 2023 walaupun terdapat spekulasi beberapa kelab Liga Super lain turut berminat untuk mendapatkan khidmat beliau untuks saingan musim hadapan.

Kongsi artikel ini