Solksjaer Dedahkan Sebab Masukkan Lindelof Bukan Bailly Dalam Kesebelasan Utama Lawan Liverpool

Pengurus Manchester United memberikan penjelasan kepada wartawan bahawa sebenarnya Lindelof telah melakukan persediaan rapi bagi beraksi dalam kesebelasan utama menentang Liverpool bagi minggu yang ke 19 di Anfield.

“Sebenarnya saya merehatkan Lindelof dalam perlawanan menentang Burnley agar dia dapat melakukan persiapan yang jitu dalam menghadapi perlawanan penting menentang Liverpool.”ujar pengurus berkenaan dalam MUTV

Hal ini menjadi pertikaian oleh para penyokong Manchester United setelah pengurus berkenan mengeluarkan senarai akhir kesebelasan utama tanpa menyenaraikan Eric Bailly dalam perlawanan menentang Liverpool yang menjadi perhatian seluruh dunia tersebut.

Pemain pertahanan berasal dari Ivory Coast yang berganding dengan kapten Harry Maguire ketika menewaskan Burnley 0-1 pada Selasa lepas telah mempamerkan aksi yang mengagumkan membantu Red Devils menang tetapi OGS tetap memutuskan Lindelof berganding dengan Maguire semula.

Bagaimanapun pemain pertahanan Sweeden ini telah mempamerkan prestasi yang baik menjaga kubu daripada dibolosi tanpa membuat kesilapan yang tidak sepatutnya sehingga Liverpool terpaksa akur dengan keputusan seri tanpa jaringan.

“Saya memang merancang untuk menurunkan Lindelof dalam perlawanan ini dan ia sebahagian daripada taktikal. Saya telah memberitahu perkara ini kepada Lindelof dan mengarahkan staf kejurulatihan seperti Michael Carrick untuk membantu persiapan beliau dengan penuh rapi.

Ole juga telah membuat pertukaran di bahagian tengah dengan memasukkan Fred dan Scott McTominay dengan Nemanja Matic serta Cavani berada di bangku simpanan.

“Saya mahukan Paul Pogba bermain di sayap kanan tanpa turun ke bawah untuk menyekat kemaraan pemain Liverpool. Jadi dengan ada tenaga seperti Fred dan McTominay ia satu pilihan yang berbeza untuk bahagian serangan menjadi lebih bagus.”

Manchester United kini berada dipuncak takhta EPL dengan pungutan mata sebanyak 37 berbanding Manchester City di tangga kedua berbeza dua mata sahaja.

Skuad OGS akan bertandang ke Fulham pada hari Khamis ini dan hanya mempunyai dua hari bagi membuat persiapan dan memastikan pemain berada dalam keadaan cergas sepenuhnya.

Percaturan taktikal memainkan peranan penting dalam setiap perlawanan kerana taktikal berbeza akan diperlukan untuk berhadapan dengan pasukan yang kuat dan disebabkan itulah pemilihan pemain perlu dilakukan dengan penuh rapi oleh setiap jurulatih.

 

 

 

 

 

Kongsi artikel ini