Expand To Show Full Article
Offside Trap Merapu Arsenal Yang Dihukum Oleh Sepakan Gunting Kilas Calvert-Lewin - Grandstand Kita

Offside Trap Merapu Arsenal Yang Dihukum Oleh Sepakan Gunting Kilas Calvert-Lewin

Arsenal merekodkan kemenangan 3-2 ke atas Everton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pada awal pagi tadi.

The Gunners kendalian Mikel Arteta terlebih dahulu dikejutkan oleh jaringan Dominic Calvert-Lewin untuk kelab Merseyside itu mendahului seawal minit pertama perlawanan.

Asenal kemudian menyamakan kedudukan melalui Eddie Nketiah dan mendahului melalui jaringan Pierre-Emerick Aubameyang selepas itu.

Namun ia tidak kekal lama setelah Everton sekali lagi membocori gawang Arsenal melalui Richarlison pada babak akhir separuh masa pertama.

Mujurlah Aubameyang sekali lagi muncul wira bagi Arsenal selepas tampil dengan gol kemenangan sejurus selepas babak kedua perlawanan bermula.

Kedudukan kekal 3-2 sehingga perlawanan tamat untuk tiga mata menjadi milik anak buah Arteta.

Kerapuhan benteng Arsenal

Musim ini kualiti di benteng pertahanan adalah salah satu isu yang menyelubungi kelab London ini.

Dan isu kerapuhan benteng pertahanan Arsenal gagal diselesaikan sejak beberapa jendela perpindahan lalu.

Daripada ketika era Unai Emery, diikuti Freddie Ljunberg sebagai pengendali interim, dan kini Arteta, masalah di benteng kini semakin berlarutan,

Sesuatu jelas perlu dilakukan di bahagian pertahanan sekiranya Arsenal mahu kembali sebagai pencabar Liga Inggeris pada musim-musim akan datang.

Dalam perlawanan menentang Everton semalam, gol sepakan gunting Calvert-Lewin adalah bukti kepada masalah yang dihadapi oleh benteng pertahanan Arsenal.

Tatkala garis akhir pertahanan berada di luar kotak penalti ketika Everton memperolehi set-pieces, Sead Kolasinac seolah-olah tidak memahami apa yang beliau perlu lakukan.

Di dalam situasi ini, Kolasinac jelas seperti diperbodohkan atau naif sehingga termakan umpan Yerry Mina sehingga membuatkan perangkap offside yang dibina Arsenal musnah.

Gylfi Sigurdsson menunggu detik terbaik untuk menghantar sepakan percuma ke dalam kotak penalti, yang akhirnya disudahi oleh Calvert-Lewin dengan penuh bergaya.

Pada ketika ini, perangkap offside oleh Arsenal kelihatan seperti satu jenaka. Bagaimana anda mahu memerangkap apabila anda diperangkap?

Kelemahan ketika menyerap asakan melalui set-pieces adalah antara masalah utama Arsenal pada musim ini.

Kebiasaannya, Arsenal mempamerkan organisasi lemah ketika bertahan dari set-pieces.

Perlawanan menentang Southampton yang berkesudahan seri 2-2 pada November lalu adalah antara yang mendapat kritikan pedas penganalisa sukan pada ketika itu.

Rumusan

Tidak dapat dinafikan bahawa Arteta telah melakukan banyak penambahbaikkan ke dalam permainan Arsenal sejak tiba menggantikan Unai Emery.

Paling ketara adalah dari segi disiplin pemain – termasuk organisasi pertahanan.

Untuk rekod, Arsenal tidak dibolosi dalam tiga perlawanan (2 EPL, 1 UEL) sebelum dibolosi dua kali oleh Everton.

Kali terakhir Arsenal cemerlang tidak dibolosi dalam tiga perlawanan itu kali terakhir adalah pada April 2019.

Jelas Arteta dan Arsenal perlu aktif di pasaran pemain untuk memperbaiki pertahanan mereka pada musim panas akan datang.

Apa pendapat penyokong Arsenal?

 

 

Kongsi artikel ini