Nguyen Quang Hai Bakal Beraksi Di Ligue 2 Perancis, Apakah Cabaran Bakal Menanti Di Kelab Baharunya Itu?

Bintang Vietnam, Nguyen Quang Hai dilaporkan bakal menyertai kelab Ligue 2, Perancis, FC Metz.

Perkara itu didedahkan oleh seorang wartawan, Jonathan Johnson yang berpengkalan di Paris kepada ZingNews.

Perkongsian daripada ASEAN FOOTBALL di Twitter turut mengesahkan segala rundingan mengenai terma perpindahan sudah dipersetujui bersama pihak kelab.

Quang Hai kini hanya perlu menunggu untuk melengkapkan pemeriksaan perubatan sebelum disahkan sebagai pemain  kelab itu.

Nguyen Quang Hai adalah pemain utama yang menjadi kebangkitan bola sepak Vietnam di bawah kendalian jurulatih Korea Selatan, Park Hang-seo.

Pemain itu sebelum ini gagal mencapai persetujuan untuk melanjutkan kontrak bersama Hanoi FC, sebelum menyatakan hasrat bersedia untuk beraksi di luar negara.

Kelantangan pemain itu yang menyatakan hasrat untuk mencari pengalaman baharu di luar negara juga memberi indikasi beliau sudah bersedia untuk meninggalkan V-League.

Selain daripada Perancis, Quang Hai turut dikatakan telah menarik minat kelab-kelab dari Thailand, Jepun, Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat dan Eropah.

Cabaran di Metz

Metz adalah kelab yang berperngkalan di Lorraine. Kelab The Saint-Symphorien ini baru sahaja tersingkir ke Ligue 2 selepas musim serba tidak menjadi di Ligue 1 pada musim lalu.

Kelab itu memiliki skuad yang dinilai pada harga 70 juta euro. Pemain termahal kelab itu adalah bek kanan, Fabien Centonze yang dinilai pada tanda harga 7 juta euro.

Di jentera tengah, Quang Hai dijangka akan bersaing dengan Farid Boulaya. Musim lalu Boulaya melakukan 24 penampilan selain menjaringkan 4 gol, dan menyumbang 2 assists.

Selain Boulaya, Metz turut memiliki seorang lagi pemain tengah kreatif, Amine Bassi yang merupakan bekas pemain skuad Maghribi B-23.

Di bahagian sayap di mana Quang Hai juga boleh beraksi, Metz memiliki barisan pemain dari Afrika yang memiliki kepantasan dan kekuatan fizikal seperti  Opa Nguette , Papa Ndiaga Yade ( semuanya dari Senegal) atau Didier Lamkel Ze (Cameroon).

Berdasarkan pemain  yang mereka miliki, cabaran untuk mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama pada musim hadapan pasti sengit untuk Quang Hai.

Ini tidak bermakna beliau tidak memiliki peluang jika mampu membuktikan kemampuan diri. Apatah lagi kelab itu kini sedang dirombak oleh jurulatih baharu, Laszlo Boloni.

Kongsi artikel ini