Negeri Sembilan Pening Pengganti Khuzaimi Dikebas Kelab Lain

Negeri Sembilan FC (NSFC) kini pasti berada di dalam dilema sekiranya perkembangan terkini perpindahan pemain bakal menjadi kenyataan.

Dengan Khuzaimi Piee hampir pasti bakal menyertai Selangor FC, K. Devan dan NSFC melihat bekas pemain pertahanan JDT, Fadhli Shas sebagai pengganti terus kepada pemain pertahanan skuad Harimau Malaya itu.

Namun demikian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mengesahkan NSFC bukan satu-satunya pasukan yang berminat dengan Fadhli yang beraksi bersama Melaka United secara pinjaman pada musim lalu.

Turut mengintai peluang memikat pemain pertahanan berusia 31 tahun itu kini adalah Sri Pahang FC. Sebelum ini NSFC dilaporkan menjadi pilihan utama oleh Fadhli untuk meneruskan karier di Liga Malaysia pada musim hadapan.

Namun berdasarkan perkembangan terkini ini, Fadhli juga berkemungkinan akan kembali bergandingan dengan Muslim Ahmad di Sri Pahang.

Gandingan Fadhli-Muslim pernah dianggap sebagai salah satu gandingan pertahahan tengah terbaik yang pernah dimiliki negara suatu ketika dahulu.

Selain Khuzaimi, seorang lagi pemain Negeri Sembilan iaitu Syihan Hazmi turut dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan besar musim hadapan setelah menampilkan prestasi cemerlang di pintu gawang skuad Hobin Jang Hobin sepanjang dua musim lalu.

Syihan dianggap sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dan paling konsisten dalam negara ketika ini dan beliau juga menjadi calon untuk turun sebagai penjaga gol nombor satu pasukan negara pada saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang akan bermula pada 20 Disember nanti.

Kongsi artikel ini