Nampak Kelakar Bagi Ramai, Tetapi Penjagaan Mental Pemain Bukti Ketelitian Liverpool

Sesiapa sahaja yang mempunyai Liverpool, baik pemain, staff kejurulatihan mahupun penyokong, pasti lega apabila mendengar bagaimana Premier League tetap berusaha menamatkan saingan musim 2019/20.

Penularan COVID-19 menyebabkan saingan bola seoak di seluruh Eropah hampir lumpuh. Saingan domestik di England telah ditangguhkan sehingga 30 April.

Keadaan itu dijangka berlarutan selepas Perdana Menteri UK, Boris Johnson mengenakan perintah berkurung pada malam tadi –  setelah jumlah kes terus meningkat dengan drastik di England.

Bila Liverpool jadi juara?

Maka persoalan paling hangat dalam dunia bola sepak pada hari ini adalah: ‘Bilakah Liverpool boleh dinobatkan selaku juara Liga Perdana Inggeris?’

Atau soalan yang lebih merisaukan ialah: ‘Adakah Liverpool akan menamatkan kemarau 30 tahun kejuaraan pada musim 2018/19?’

Buat masa ini, Liverpool akan menerima seadanya segala kemungkinan yang akan berlaku asalkan bergelar juara – termasuk beraksi di stadium tertutup tanpa penyokong setia mereka.

Ia adalah satu tamparan mengambil kira penantian yang dilalui. Namun sekurang-kurangnya pelan untuk menamatkan saingan pada musim ini kini telah mejadi keutamaan Premier League.

Walaupun demikian, sebagai sebuah kelab Liverpool tidak melihat perkara ini dengan sebelah mata.

Malah Liverpool turut bersedia untuk berhadapan dengan kemungkinan paling teruk, iaitu liga terpaksa dibatalkan, dan Liverpool tidak bergelar juara.

Persediaan untuk pemain

Menurut Daily Mail, kelab tersebut mengambil inisiatif untuk menghulurkan bantuan kepada pemain yang berhadapan ‘kebimbangan melampau’ atau anxiety terhadap potensi kehilangan kejuaraan selepas melalui musim yang menakjubkan.

Liverpool kini mempunyai kelebihan 25 mata di puncak liga, dan memerlukan hanya dua kemenangan sahaja lagi dari baki sembilan yang perlu dilalui untuk dinobatkan selaku juara.

Untuk membantu menenangkan pemain, pakar psikologi kelab, Lee Richardson telah melakukan satu pembentangan kepada pemain pada masa perintah berkurung ini.

Dua perkara utama kandungan pembentangan Richardson adalah teknik pernafasan dan juga penggunaan media sosial oleh pemain.

Tajuk pembentangan ialah “Kesihatan & Kesejahteraan Mental’, bersama satu lagi sub topik, “Penerimaan dan Kawalan.”

Antara kandungan perkongsian oleh Richardson ialah: “Apa sahaja keputusan diambil oleh pihak Premier League dan sejauh mana kesan virus ini di kemudian hari [kepada kejuaraan dan musim 2019/20] bukan berada di bawah kawalan kita [pemain].

“Apa yang boleh pemain kawal adalah tingkah laku dan tindak balas terhadap keadaan mencabar – dimana keutamaan ialah untuk menjaga keselamatan diri, dan meminimakan jangkitan.

“Apabila pemain memberikan fokus kepada perkara yang tidak boleh dikawal seperti Premier League, keputusan ‘lockdown’ oleh kerajaan, dan sebaginya, maka anda akan membenarkan cabaran psikologi itu datang melebihi perspektif sepatutnya.

“Seperti apa kata pengurs [Jurgen Klopp], bola sepak bukanlah perkara paling penting. Kesihatan dan keselamatan semuapihak seharusnya menjadi paling terutama.”

Pemain turut dinasihatkan “bernafas dari perut” jika mengalami stress, dan menekankan penggunaan diafragma ketika melakukan teknik pernafasan.

Richardson merupakan bekas pengurus Chesterfield dan bekas pemain Watford, Blackburn dan Oldham — turut menasihatkan pemain melakukan latihan pernafasan setiap hari untuk mengelak berlaku kerisauan.

Rumusan

Terdapat juga bahagian lain di dalam pembentangan oleh Richardson.

Contohnya mengenai bagaimana mengurus kawalan gerakan dan tinggal di rumah, dimana pemain diberi amaran mengenai kebosanan dan belajar menangani rutin harian.

Bagi kebanyakan pihak, perkara sebegini mungkin nampak melucukan. Tetapi Liverpool di era Jurgen Klopp sentiasa menumpukan perkara yang dianggap remeh atau kecil dengan penuh keperincian.

Malah keperincian sebeginilah yang menjadikan The Reds sebagai salah sebuah pasukan paling dominan di England dan Eropah pada hari ini.

Kongsi artikel ini