MU Mohon Maaf Kepada Pemain, Lesen Liga Malaysia 2023 Kini Jadi Keutamaan

Melaka United akhirnya tampil memberi penjelasan mengenai situasi kemelut gaji yang melanda pasukan itu pada musim ini.

Semalam Malaysian Football League (MFL) sebagai penganjur utama pertandingan bola sepak domestik di negara ini bertindak menarik slot milik Melaka United untuk bertanding di pertandingan Malaysia kerana kemelut yang melanda pasukan tersebut.

Barisan pemain dan staff kejurulatihan pasukan itu dikhabarkan sudah tidak dibayar gaji sejak 3-4 bulan yang lalu sekali gus memaksa MFL membuat keputusan drastik ini.

Melaka United mohon maaf

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Melaka United pada lewat malam tadi, pihak kelab pada ketika ini masih berusaha untuk menyelesaikan semua masalah dihadapi dan percaya krisis yang berlaku ketika ini dapat diselesaikan jika semua pihak bersama-sama membantu memastikan kebajikan pemain, jurulatih dan pegawai pasukan.

Bagaimanapun ntara perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu ialah penstrukturan saham kelab dan mendapatkan dana daripada pihak berkepentingan yang masih belum selesai untuk membenarakan pasukan itu terus bersaing di Liga Malaysia pada musim hadapan.

“Proses penstrukturan saham dan mendapatkan dana daripada pihak berkepentingan yang masih belum selesai ini juga menyebabkan pihak pengurusan kelab membuat keputusan supaya perkara ini dapat diselesaikan terlebih dahulu dan keutamaan diberikan untuk Melaka United FC kekal berada di Liga M tahun hadapan.

“Kelab memohon maaf kepada semua pemain, jurulatih dan pegawai yang terlepas untuk beraksi dalam saingan berprestij bola sepak negara iaitu Piala Malaysia musim ini serta penyokong dan peminat yang menjadi tulang belakang pasukan selama ini,” menurut kenyataan itu.

Melaka United hadapi krisis dalaman?

Kenyataan terkini daripada Melaka United itu kini membayangkan kelab itu mengalami krisis dalaman di peringkat pengurusan.

Pada penghujung Ogos lalu, portal sukan Harimau Malaya melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Justin Lim turut sudah tidak bersama pasukan itu lagi pada musim ini.

Tidak dinyatakan punca Justin bertindak sedemikian, tetapi ia menjadi antara sebab utama mengapa pemain skuad Hang Tuah hampir empat bulan sudah tidak menerima gaji dan perkara ini nyata menjejaskan kehidupan mereka kerana pelbagai komitmen, termasuk perlu menyara keluarga.

Situasi di dalam pasukan juga menyebabkan pemain import, Emmanuel Oti dan Justin Baas dilaporkn telah membatalkan kontrak masing-masing. Sony Norde pula telah membawa kes itu kepada FIFA.

Kongsi artikel ini