Mohammad Ghaddar, Bintang Lebanon Milik Kelantan Yang Terpaksa Dilepaskan Kerana Hutang

Bilakah kali terakhir kelibat Mohammad Ghaddar dilihat oleh penyokong bola sepak di Malaysia?

Hanya beberapa musim yang lalu, Mohammad Ghaddar dikenali sebagai penyerang yang amat digeruni di dalam kancah saingan bola sepak Malaysia.

Selepas kontrak beliau bersama JDT tamat pada musim lalu, kini bintang Lebanon itu tidak terikat bersama mana-mana kelab. Pada usia 36 tahun persaraan adalah antara perkara yang sedang dipertimbangkan oleh beliau.

Tiada penyesalan

Bercakap kepada FALebanon.com pada awal tahun ini, Ghaddar berkata beliau tidak pernah menyesal datang ke Malaysia untuk meluaskan pengalaman dalam karier bola sepaknya.

Malah pemain itu menganggap karier beliau di Malaysia sebagai antara yang terbaik pernah dilaluinya.

Secara keseluruhan Ghaddar beraksi di Malaysia selama tujuh musim sejak 2012. Sepanjang tempoh itu, Ghaddar pernah datang dan pergi bersama Kelantan sebanyak empat kali, selain daripada aksi selama dua musim bersama JDT – dan Felda United sebelum itu.

Sepanjang beraksi dalam saingan Liga Malaysia, Ghaddar telah merekodkan lebih 50 gol dan meraih 7 kejuaraan dalam saingan domestik antaranya Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Cabaran bersama pasukan Kelantan dan JDT.

Kredit: Vocket FC

“Saya sangat gembira dengan karier saya di Malaysia. Memenangi tujuh kejuaraan domestik dan dipilih sebanyak dua kali sebagai pemain terbaik di negara asing adalah sesuatu yang saya banggakan,” ujar beliau kepada FA Lebanon.

“Selepas mengalami ACL pada msuim terakhir di Kelantan (2018), saya menyertai JDT II, dan memenangi Piala Cabaran pada akhir musim selain muncul penjaring terbanyak (Liga Premier). Musim itu amat bermakna buat saya.

“Liga Super Malaysia adalah pertandingan yang sangat baik dan sentiasa berevolusi. Kelab bertanding mempunyai kemudahan yang hebat, dan sering diperbaiki seiring dengan mentaliti profesionalisme. Kerana itulah mereka mampu bermain sehingga ke AFC Champions League.”

Paling dikenang di Kelantan

Seperti yang dikatakan pada awal tadi, Ghaddar pernah datang dan pergi menyertai Kelantan sebanyak empat kali sejak 2012.

Pada tahun 2012 Ghaddar membantu pasukan Kelantan menjulang treble untuk pertama kalinya dalam sejarah bola sepak mereka.

Musim itu juga, Ghaddar menjaringkan 21 gol yang merupakan rekod yang cemerlang!

Pada tahun 2013, Ghaddar berhijrah ke FELDA United. Tetapi malangnya jodoh Ghaddar tidak panjang bersama mereka kerana ditimpa kecederaan yang panjang dan terus disingkirkan oleh pihak pengurusan.

Ketika itu, Ghaddar hanya mampu mencipta 3 gol sahaja untuk FELDA United.

Pada tahun 2014, nama Ghaddar muncul kembali dibibir peminat pasukan Kelantan.

Ia selepas Tan Sri Anuar Musa buntu untuk mencari penyerang berbisa untuk berganding bersama Forkey Doe dan Kelantan berjaya mendapatkan Ghaddar untuk bermain bersama pasukan Kelantan semula.

Tapi Ghaddar pada musim 2014 bersama skuad Kelantan tidah sehebat seperti pada musim 2012. Mana tidaknya, Ghaddar seperti ‘budak nakal’ dalam skuad Kelantan 2014 dan hanya mampu menjaringkan 6 gol sahaja.

Beliau kemudiannya ditamatkan kontrak kerana masalah kecederaan dan juga masalah disiplin terutamanya beliau mengalami masalah dengan bekas pertahanan Kelantan – Obinna Nwaneri.

Kembali gegar dan perpindahan kontroversi

Pada musim 2016, penyokong Kelantan mula membangkitkan balik nama Mohammed Ghaddar untuk bermain kembali bersama skuad Kelantan bagi mengantikan Dramane Traore yang tak begitu cemerlang.

Perkara itu pada mulanya dinafikan oleh Dato’ Seri Vida kerana beliau memberitahu yang pemain itu tidak lagi relevan untuk skuad kijang itu.

Dan pada tahun 2017, impian penyokong Kelantan untuk melihat Ghaddar kembali direalisasikan oleh Tan Sri Annuar Musa yang tampil selaku penaja pada ketika itu.

Ghaddar pantas memukau dengan magis dan skil solo beliau membuatkan beliau berjaya mencipta 3 hatrik dalam 9 perlawanan. Malah pada satu ketika, jumlah peribadi Ghaddar adalah lebih banyak daripada separuh pasukan yang bersaing di Liga Super Malaysia pada 2017.

Itulah dia Mohammed Ghaddar, pemain yang paling disayangi oleh penyokong Kelantan. Gomo Ghaddar Gomo!

Perpindahan kontroversi

Dan secara tiba-tiba masa depan pemain dari Lebanon itu menjadi topik perbualan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan pada jendela perpindahan kedua musim 2017.

Ikutkan logik akal, tidak ada pasukan yang sanggup bergadai jual pemain terbaik mereka. Apatah lagi di pertengahan musim, jika tidak kerana sebab tertentu.

Keadaan kewangan Kelantan yang dipalit masalah gaji turut tidak membantu pada ketika itu, tatkala pemain penyerang itu dikaitkan dengan juara Piala AFC 2015, JDT.

Keratan akhbar Berita Harian.

Dan akhirnya Mohammad Ghaddar disahkan menjadi pemain JDT pada 18 Mei 2017. Tiada jumlah tertentu didedahkan mengenai yuran perpindahan pemain tersebut dari Kelantan pada ketika itu.

Walaupun laporan akhbar menyatakan Ghaddar dinilai pada harga RM2 juta, terdapat juga laporan mengatakan JDT membayar sebanyak RM1.2 juta sehingga RM1.4 juta untuk pemain tersebut.

SELAMAT DATANG KE JOHOR DARUL TA'ZIM, MOHAMMED GHADDARSatu sesi memperkenalkan pemain terbaru Kelab Bolasepak Johor…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Thursday, 18 May 2017

Pada tarikh yang sama ketika JDT mengumumkan Ghaddar, Setiausaha KAFA pada ketika itu, Datuk Ismail Md Noor turut mengesahkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan menyegerakan tunggakan bayaran gaji pemain The Red Warriors (TRW) sebaik menerima bayaran yuran perpindahan pemain import, Mohammad Ghaddar ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Sebahagian daripada yuran perpindahan Ghaddar akan digunakan untuk membayar gaji pemain dan itu antara pilihan kami dalam rundingan sebelum melepaskan pemain itu ke JDT.

“Kita masih menunggu bayaran daripada JDT dan sebaik mendapatnya, kita akan bayar gaji pemain,” ujarnya pada ketika itu.

Rumusan

Melalui temuramah bersama FA Lebanon pada Januari tahun ini juga, Ghaddar berkata beliau masih berniat meneruskan karier sebagai pemain bola sepak profesional sekiranya masih ada tawaran daripada luar negara.

Beliau juga turut menaruh harapan untuk beraksi bersama kelab pertama yang disertai beliau di Lebanon, iaitu Nejmeh SC.

Namun demikian, Ghaddar turut menyedari masa semakin suntuk buat beliau, dan persaraan juga dilihat sebagai satu pilihan, tatkala peluang untuk mengembangkan lagi bisnes peribadinya menjadi panggilan baharu buat Mat Ghaddar.

Timbul persoalan lain. Bagaimana nasib Kelantan jika diurus dengan lebih baik pada ketika itu? Bagaimana keadaannya jika Kelantan tidak terpaksa sehingga menjual aset tebaik mereka iaitu Mohammad Ghaddar pada musim tersebut?

 

 

 

Kongsi artikel ini