‘Misi Triple Hatrick’ – TMJ Seru Sokongan Keluarga JDT

JDT bakal melakarkan sejarah tersendiri di dalam saingan Liga Malaysia pada musim ini sekiranya berjaya merangkul kejuaraan Liga Super Malaysia 2023.

Sudah pun memiliki kejuaraan Piala FA di dalam genggaman selepas menundukkan Terengganu FC 3-1 di perlawanan akhir yang berlangsung pada 10 September lalu, JDT kini hanya memerlukan enam mata untuk mengesahkan kejuaraan kesembilan berturut-turut.

Berbaki lima perlawanan bermula dengan perlawanan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim pada hujung minggu ini, JDT masih memiliki 5 perlawanan musim ini untuk merealisasikan kejayaan luar biasa yang tidak pernah tercapai oleh mana-mana pasukan sebelum ini.

Lebih menarik, kejayaan JDT pada musim ini bukan sahaja diukur melalui skuad utama mereka. Tetapi juga melalui pasukan akademi yang telah merangkul 12 kejuaraan di pelbagai peringkat usia dan pertandingan sepanjang tahun 2022.

Perjuangan belum berakhir

Bagaimanapun bagi pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) perjuangan belum lagi tamat dan apa-apa pun boleh berlaku di dalam bola sepak.

“Ianya merupakan tahun yang gemilang buat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan pelbagai kejayaan dari pasukan senior hingga ke pasukan junior, namun musim 2022 masih belum tamat,” ujar beliau melalui satu kenyataan pada hari ini.

“Kelab ini akan terus berusaha untuk mencapai lebih kejayaan, dan kami memerlukan sokongan daripada semua di dalam Keluarga JDT — pengurusan, barisan kejurulatihan, para pemain, staf dan penyokong — untuk menyempurnakan musim ini dengan lebih bergaya.

“Kita telah pun memenangi sembilan trofi setakat ini dalam tahun 2022, dengan Akademi JDT menyumbang tujuh darinya — termasuk JDT III memenangi Piala Presiden (B21) buat pertama kalinya.”

Pertama kali dalam sejarah

Lebih menarik lagi, skuad JDT II turut berada di ambang kejuaraan Liga Premier dan berkemungkinan akan dinobatkan sebagai juara pada Jumaat ini.

“JDT II pula boleh dinobatkan sebagai juara Liga Premier Jumaat ini. Pasukan senior yang berjaya mencipta sejarah layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC pula kini dalam landasan mencipta rekod memenangi Liga Super buat kali kesembilan, sesuatu yang saya percaya sukar untuk ditandingi. ‘A triple hattrick!”. Ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku,” tambah TMJ.

“Kami masih ada lima lagi perlawanan untuk merangkul kejuaraan, tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak dan kami memerlukan setiap sokongan daripada penyokong dan seluruh Keluarga JDT dalam baki perlawanan untuk mencapai matlamat kami iaitu ‘triple hattrick’. Jumpa anda semua di perlawanan ‘home’ akan datang — Negeri Sembilan, Kedah dan Sabah!”

Kongsi artikel ini