Minit Permainan Yang MUNASABAH Amat Diperlukan Oleh Syafiq Ahmad

Pengarah Sukan Bola Sepak Kelab Johor Darul Ta’zim , Martin Prest telah membuat pengumuman mengenai perancangan Juara MSL kali ke-8 berturut bagi persediaan untuk menghadapi musim baharu 2022 seawal Januari tahun depan.

Di dalam pengumuman berkenaan , turut dinyatakan beberapa pemain seperti Irfan Fazail dan Stuart Williams akan dipinjamkan ke Sabah FC. Manakala Fadhli Shas dan Syazwan Andik pula akan menyertai Melaka United FC untuk memperkuatkan barisan skuad itu musim depan.

Penyerang tengah skuad kebangsaan , Syafiq Ahmad juga berada dalam senarai untuk dipinjamkan ke kelab lain. Namun , perbicangan sedang dilakukan dan kemungkinan beliau akan pergi ke kelab yang bermain di saingan Piala AFC 2022 iaitu Kedah atau juara baru Piala Malaysia 2021 , Kuala Lumpur City.

Persaingan yang amat sengit di dalam kelab JDT menyebabkan ada di antara pemain-pemain jarang diturunkan dalam kesebelasan utama. Walau bagaimanapun , JDT sentiasa memastikan pemain-pemain mereka berada di dalam kecergasan tahap tertinggi sehingga penghujung musim kalendar bolasepak untuk memastikan mereka sentiasa bersiap sedia untuk diturunkan mengikut perancangan jurulatih , Benjamin Mora.

Walaupun Shafiq Ahmad kurang mendapat minit permainan di JDT , beliau tetap dipanggil oleh Tan Cheng Hoe bagi menyertai skuad kebangsaan yang sedang menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2002 di |Singapura.

Ini kerana jurulatih berkenaan telah lama mengenali Shafiq Ahmad dan yakin dia seorang pemain yang mendatangkan impak kepada pasukan Harimau Malaya kerana kualiti yang ada pada pemain berkenaan.

Sehingga berita ini ditulis , Shafiq Ahmad telah berada tiga kali di dalam kesebelasan utama semasa Malaysia menang menumbangkan Kemboja dan Laos sebelum tewas dengan pasukan gergasi Asia Tenggara Vietnam.

Sepanjang tempoh saingan Liga Super , Syafiq Ahmad jarang diturunkan dalam kesebelasan utama JDT. Pemilik JDT , Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim , pernah berkata selepas kemalangan tragik yang menimpa ke atas diri serta ahli keluarganya , Syafiq Ahmad bukan Syafiq seperti dulu lagi.

Pemain yang berusia 26 tahun ini masih mendapat perhatian daripada lagenda pertahanan skuad kebangsaan Shukor Adan dan ini membuktikan beliau masih berada dalam radar jurulatih dan pemerhati bolasepak sendiri.

Dengan berpindah walaupun secara pinjaman ke kelab lain ia akan membantu Syafiq Ahmad untuk mendapatkan minit permainan yang lebih kerap dalam aksi yang kompetitif. Mendapatkan minit permainan yang munasabah adalah peluang untuk dirinya kembali ke prestasi yang lebih tinggi dengan menajamkan corak dan kemahiran permainannya kerana Malaysia masih ketandusan penyerang tempatan tulen yang berbahaya.

 

Kongsi artikel ini