Miliki Gerakan Persis Kilat Dan Penyudah Berbisa, Mengapa Arif Aiman Masih Dianggap Belum Bersedia Ke Eropah?

Untuk menyamakan Arif Aiman dengan penyerang-penyerang utama di Eropah mungkin agak keterlaluan buat masa ini.

Namun sekurang-kurangnya keraian yang dilakukan oleh pemain sayap JDT itu selepas berjaya membolosi gawang kelab Rusia, Lokomotiv Moscow dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung lewat malam tadi tidak tumpah seperti apa yang sering dilakukan oleh bintang Manchester United, Marcus Rashford.

Arif Aiman mungkin belum setara dengan penyerang handalan di liga-liga utama di Eropah seperti Rashford atau pun Harry Kane – walaupun jaih di hati setiap daripada kita pasti mahu melihat beliau beraksi di liga utama di benua itu suatu hari nanti.

Paling tidak kita mahu melihat Arif berada setara dengan sensasi baru dari Jepun, Kaoru Mitoma yang menyinar bersama Brighton & Hove Albion, atau pun Takefuso Kubo yang mendapat tempat bersama Real Sociedad di La Liga.

Di Liga Malaysia pada musim lalu, Arif bukan dikenali sebagai penyerang utama pasukan diwakilinya, baik ketika beraksi bersama JDT atau pun ketika menyarung jersi skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon.

Musim lalu, beliau hanya menjaringkan gol tetapi turut menghasilkan 13 assist – tertinggi di saingan Liga Super. Sentuhan jaringannya di penghujung musim khususnya di Piala Malaysia kemudiannya semakin bertambah baik apabila Arif berjaya menjaringkan 4 gol.

Hakikatnya di dalam bola sepak moden pada hari ini, pemain seperti Arif Aiman yang beraksi di posisi penyerang sayap adalah baka pemain yang lebih bernilai kerana kemampuan mereka terlibat dengan jaringan – baik sebagai penjaring atau pun pengumpan.

Jaringan Arif Aiman vs Borussia Dortmund

Pada hari ini Arif Aiman dianggap sebagai bakat paling sensasi dimiliki negara. Pemain ini tidak segan silu membuktikan dirinya berhadapan semua lawan yang dihadapinya, sekali gus menutup mulut pengkritik yang cuba meragui kemampuannya.

Dalam perlawanan menentang Dortmund pada November lalu, Ariff dianggap sebagai pemain paling menyerlah. Walaupun berhadapan pemain pertahanan lawan yang jauh lebih berpengalaman seperti Matts Hummel dan Alexander Meyer di hadapan gawang, beliau tetap mampu menghasilkan jaringan.

Jaringan menentang Dortmund bukan hadir kerana nasib. Bijak membaca arah gerakan bola untuk melakukan tekanan, gol tersebut turut terhasil oleh kepantasan yang dimilikinya.

Walaupun berada di sudut yang dianggap sukar, kualiti scanning yang dimiliki oleh pemain ini dianggap top class kerana menyedari posisi penjaga gol dan pemain pertahanan lawan sebelum memilih masa yang tepat untuk melepaskan percubaan ke penjuru kiri gawang.

Tatkala pemai lain mungkin akan terus merembat membuta tuli di dalam situasi tersebut, Arif tenang melakukan percubaan rendah untuk bola bergolek ke arah yang beliau mahukan.

Jaringan Arif Aiman vs Lokomotiv Moscow

Hanya dalam tempoh beberapa bulan ini, Arif telah membuktikan dirinya mampu bersaing di peringkat tertinggi. Selepas menjadikan gergasi Jerman, Borussia Dortmund dan kemudian terbaru, Lokomotiv Moscow sebagai mangsa terbaru penyudah berbisanya.

Jaringan Arif menentang kelab Rusia itu juga bukan nasib semata-mata. Tatkala JDT memiliki barisan penyerang import ampuh seperti Bergson da Silva, Fernando Forestieri, dan Juan Muniz, ia bukan kebetulan penjaring gol penyamaan dalam perlawanan tersebut adalah Arif Aiman.

Sedar akan kedudukannya di antara dua pemain, Arif bijak menggunakan composure/ketenangan untuk memastikan bola terus berada di dalam kawalannya.

Sekali lagi Arif menggunakan kepantasan dan kebijaksanaannya untuk membuka ruang buat dirinya, sebelum memilih masa yang sesuai untuk menewaskan penjaga gol lawan.

Malah sebelum jaringan tersebut hadir, barisan pertahanan Lokomotiv Moscow turut bergelut untuk mengawal kelincahan Arif Aiman.

Kesimpulan

Berdasarkan perkembangan pemain berusia 20 tahun ini, maka tidak hairanlah sekiranya ada pencari bakat dari Eropah mulai mengikuti dan mengintai perjalanan karier pemain ini.

Mungkin ada yang kehairanan mengapa JDT masih memeram pemain ini sekiranya Arif memiliki potensi beraksi di luar negara.

Mari kita tanya diri kita.Adakah Arif Aiman memiliki potensi beraksi di Eropah? Jawapannya adalah ya. Bersediakah Arif Aiman untuk beraksi di Eropah? Jawapannya mungkin belum.

Tidak perlu terus membuat kesimpulan berdasarkan dua jawapan tersebut. Tiada keraguan Arif mampu menyinar sekiranya menyertai kelab yang betul di Eropah pada hari ini.

Namun demikian, pada usia 20 tahun, kami percaya ada beberapa aspek lain yang perlu ditambah baik oleh beliau seperti keadaan fizikal dan kekuatan badan yang perlu ditambah baik.

Kita semua tahu bagaimana tuntutan fizikal untuk beraksi di liga utama di Eropah. Sekiranya Arif Aiman mampu menambah baik dua aspek ini, maka tidak mustahil kita akan melihat potensi sebenar beliau dalam tempoh 2-3 tahun lagi.

Dan buat masa ini JDT adalah kelab terbaik untuk potensi Arif Aiman terus berkembang sepertimana yang ditunjukkannya sejak beberapa musim lalu.

Kongsi artikel ini