Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah hubung kait Nooa Laine dengan Malaysia. Selama ini kita hanya mengetahui pemain tengah berusia 20 tahun itu adalah pemain berdarah kacukan Malaysia-Finland.
Karier awal pemain itu juga bermula di Finland, dan kini beliau juga adalah antara pemain utama kelab Divisyen 1 Finland, SJK Seinajoki.
Pengalaman dan kemampuan beliau diakui sendiri oleh Ketua Jurulatih negara, Kim Pan-gon yang menyifatkan Noaa memiliki kualiti tertentu dan berkemampuan sebagai pemain tengah bertahan untuk Harimau Malaya.
Jika sebelum ini aksi Noaa hanya diikuti oleh jurulatih dari Korea Selatan itu melalui analisis video, jendela perlawanan antarabangsa FIFA pada Mac ini digunakan sepenuhnya oleh Pan-gon untuk menilai sendiri kemampuan Noaa di hadapan mata.
Asal usul dari Tanjung Sepat
Noaa sebenarnya memiliki pertalian darah yang rapat dengan Malaysia. Ayahnya, Faried Baharin merupakan penduduk asal Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, Selangor.
Dan selama ini, beliau pernah dibawa ayahnya melawat kampung halamannya sebanyak tiga kali. Merupakan anak kedua daripada lima adik beradik, Noaa berkata ayahnya adalah pendorong utama untuk beliau memilih bola sepak sebagai karier.
“Ayah saya berasal dari sebuah kampung kecil dipanggil Batu Laut (di Tanjung Sepat, Selangor). Saya pernah melawat kampung tersebut sebanyak tiga kali.
“Dua kali pulang ke kampung saya tidak berapa ingat kerana masih terlalu kecil. Tetapi saya masih ingat lawatan terakhir kerana pada ketika itu berlangsung Piala Dunia 2010!
“Ia adalah pengalaman yang menarik,” ujar beliau dalam satu temubual bersama Goal beberapa tahun lalu.
Melalui temubual bersama Berita Harian baru-baru ini, Noaa mengakui tidak tahu banyak mengenai bola sepak Malaysia, tetapi tetap mengenali tiga kelab utama di negara ini seperti JDT, Selangor FC dan Sabah FC.
Skuad Harimau Malaya dan bola sepak Finland
Pertama kali mendapat panggilan skuad senior kebangsaan dan setelah menjalani beberapa sesi latihan bersama pemain lain sejak beberapa hari yang lalu, pemain seperti Noaa pasti turut memiliki pandangan peribadi mengenai perbezaan bola sepak Malaysia dan Finland.
Untuk rekod, pasukan negara pada hari ini berada di ranking ke-145 dunia, manakala Finland pula menduduki tangga ke-57 dunia.
Berbeza dengan Malaysia, Finland pernah melahirkan pemain bola sepak bertaraf dunia dan beraksi di liga utama di Eropah seperti Jari Litmanen dan Teemu Puki.
Namun demikian, kemungkinan beraksi untuk Malaysia tidak pernah padam daripada sanubari Noaa walaupun beliau pernah beraksi bersama skuad Bawah-16 dan Bawah-17 Finland sebelum ini.
“Sudah tentu saya bangga untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan buat pertama kali dan cuba beri yang terbaik sepanjang latihan malah pemain lain yang saya anggap seperti `abang’ banyak membantu dan mereka kerap berkomunikasi dengan saya,” kata Nooa mengenai pengalaman pertamanya bersama pasukan negara.
“Jika ada rezeki saya akan berada dalam skuad tapi saya mahu menjadi pemain yang penting untuk Harimau Malaya pada masa hadapan, lagipun saya baru berusia 20 tahun dan perlu timba pengalaman di samping mahu sentiasa konsisten pada sesi latihan.
“Saya juga mahu menunjukkan nilai yang ada pada diri saya dan dari situ akan membantu pasukan kebangsaan dan ketika ini saya masih mengadaptasi corak permainan Harimau Malaya.
Nooa turut berkongsi perbezaan corak permainan di Finland dan Malaysia berdasarkan sesi latihan yang disertai beliau bersama pasukan negara setakat ini.
“Tidak dinafikan ketika menjalani latihan, saya perhatikan pemain yang turut bersama pada sesi latihan tampak berkualiti dan hebat tapi gaya permainan agak berbeza dengan di Finland yang lebih teknikal berbanding di sini gaya permainan lebih `straight forward’
“Apapun, saya harus menyesuaikan diri dengan corak taktikal dan teknikal yang akan diterapkan oleh jurulatih dan kena pantas juga mengenali corak permainan rakan lain,” tambahnya lagi.