Michael Owen : Bintang Liverpool Yang Di Gilap Gerard Houllier

Pemergian ke negeri abadi bekas jurulatih Liverpool tahun 1998 – 2004 Gerard Houllier yang meninggal dunia pada hari Isnin telah meninggalkan kesan mendalam kepada lagenda bintang Liverpool Michael Owen.

Menurut perkongsian Michael Owen di laman Twitter rasminya dengan emosi yang penuh kesedihan menyatakan beliau sudah pasti berasa sangat sedih sedalam hatinya ke atas pemergian bekas bosnya itu.

Bagi Owen yang telah menyambut hari kelahirannya pada 14 Disember semalam genap 41 tahun , jurulatih berasal dari Perancis itu merupakan seorang pengurus yang bagus , dan sangat mengambil berat terhadapnya.

Michael Owen merupakan antara pemain muda Liverpool yang mendapat kepercayaan Gerard Houllier pada ketika itu untuk membantu The Reds meraih pelbagai gelaran kejuaraan seperti Piala FA 2001 , Piala Liga 2001 dan 2003 dan Piala UEFA 2001.

Owen merupakan pemain muda yang menyertai akademi bolasepak Liverpool bermula pada tahun 1991 sehingga 1996 sebelum diserap masuk ke pasukan senior pada tahun berkenaan ketika Roy Evans menjadi jurulatih Liverpool.

Ketika Gerard Houllier mengambil alih tugas sebagai jurulatih Liverpool daripada Roy Evans , beliau memang telah menyedari kemampuan pemain muda itu sebagai seorang penyerang sejati.

Pada berusia 17 tahun , Owen telah menjaringkan gol hatrik yang pertama dalam kariernya sebagai pemain bolasepak proffesional ketika menewaskan kelab Grimsby dalam aksi Piala Liga.

Michael Owen juga pernah hadir ke Malaysia yang menjadi tuan rumah sempena kejohanan Piala Dunia FIFA Belia 20 tahun pada tahun 1997 untuk mewakili pasukan England bawah 20 tahun.

Selain Owen ramai pemain muda yang telah menjadi pemain bertaraf dunia selepas kejohanan tersebut seperti Juan Roman Riquelme serta Pablo Aimar dari Argentina , Thiery Henry , David Trazeguet Perancis dan beberapa bintang muda dari negara lain.

Sepanjang tempoh lapan tahun di Anfield Michael Owen telah berjaya menjaringkan 158 gol dalam 297 penampilannya.

Dengan prestasi yang sungguh cemerlang , tidak hairanlah Owen telah menerima anugerah PFA Young Player of the Year 2001 dan juga European Footballer of the Year 2001 (Ballon d’Or).

Bintang bekas penyerang Real Madrid dan Manchester United juga menyatakan bahawa mendiang jurulatih Gerard Houllier merupakan sumber inspirasi yang terbesar kepadanya sebagai seorang pengurus.

Gerard Houllier meninggal dunia tanpa diketahui sebabnya pada tengah malam Isnin lalu di kediamannya. Bagaimanapun mendiang baru sahaja menjalani  pembedahan saluran darah ke jantung tiga minggu lalu di sebuah hospital di Paris , Perancis.

Tidak salah mengatakan bahawa sebelum zaman kegemilangan Liverpool di bawah pengendalian Rafael Benitez dan jurulatih semasa Liverpool Jurgen Klopp , mendiang Gerard Houllier boleh dianggap sebagai revolusioner kelab Liverpool apabila bermulanya era millenium tahun 2000.

 

Kongsi artikel ini