Michael Feichtenbeiner Dedah Harapan Penyokong ‘Terlalu Tinggi’ Punca Pemain Selangor FC Tertekan

Ketua jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner berkata pemain pasukan Selangor FC berhadapan tekanan sejak daripada awal musim lagi.

Menurut jurulatih dari Jerman itu tekanan itu berpunca daripada harapan yang terlalu tinggi yang diberikan penyokong untuk pasukan mencapai keputusan positif di setiap perlawanan.

Tekanan punca Selangor FC lemau?

Bercakap kepada wartawan ketika sidang media selepas perlawanan, Feichtenbeiner juga mengaku pada ketika ini bukan waktu yang sesuai untuk menjadi jurulatih pasukan Red Giants.

Bagaimana pun beliau percaya ianya tidak menjadi sebarang masalah sekiranya penyokong sentiasa memberikan sokongan penuh kepada pasukan.

“Sejak dari awal musim pemain kami sudah merasai tertekan untuk menghasilkan keputusan terbaik pada setiap perlawanan untuk para penyokong.

“Harapan untuk pasukan Selangor FC sentiasa tinggi. Adakalanya ianya terlalu tinggi sehingga memberi tekanan kepada para pemain,” kata Feichtenbeiner.

Walaupun sedar tekanan yang dihadapi oleh barisan anak buahnya, Feichtenbeiner juga berkata ia adalah perkara lumrah yang perlu dihadapi oleh seorang pemain profesional.

Jentera serangan tumpul?

Antara permasalahan pasukan Selangor pada musim ini menurut Feichtenbeiner adalah kegagalan pasukan itu memanfaatkan peluang banyak yang terhidang.

“Kami banyak mencipta peluang. Masalah utamanya ialah pemain adalah gagal menghasilkan jaringan menerusi peluang yang dicipta itu. I

“Ini menjadi punca Selangor FC kehilangan banyak mata kerana kegagalan menjaringkan gol,” tambah Feichtenbeiner lagi.

Kekalahan 2-0 Selangor FC kepada Melaka United di Stadium Hang Jebat pada Selasa lalu sekali lagi menimbulkan kemarahan penyokong Red Giants yang meluahkannya selepas tamat perlawanan.

Malah rata-rata penyokong setia Red Giants mendesak agar Michael Feichtenbeiner direhatkan bagi memberi laluan kepada jurulatih lain.

Beberapa portal bola sepak tempatan turut melaporkan nasib Michael Feichtenbeiner akan ditentukan oleh Selangor FC bergantung kepada perlawanand derbi Lembah Klang menentang KL City FC selepas ini.

“Selagi kami gagal mencapai kemenangan, tekanan akan terus meningkat. Tetapi selagi penyokong masih percaya dan terus menyokong kami, saya tetap gembira dengan keadaan ini.

“Bukan mudah untuk menjadi Ketua Jurulatih Selangor FC di waktu ini. Saya tidak ada masalah jika penyokong menujukan kemarahan kepada saya kerana ia sememangnya adalah sebahagian daripada tugas saya.

“Saya hanya perlu menutup telefon bimbit selama beberapa hari,” katanya.

Selepas mengharungi sembilan perlawanan Liga Super Malaysia setakat ini, pasukan yang pernah dianggap sebagai gergasi bola sepak negara itu kini sekadar berada di kedudukan ke-12 dengan kutipan 12 mata.

Selangor bagaimana pun beraksi jumlah perlawanan yang lebih sedikit setakat ini berbanding beberapa pasukan lain yang berada di kelompok atas kedudukan liga.

Sekadar mencatatkan tiga kemenangan dan tiga seri setakat ini, Selangor juga hanya bejaya menghasilkan 21 jaringan dan dibolosi 17 kali.

Kongsi artikel ini