Apa nak jadi dengan industri bola sepak kita pada hari ini. Sana sini masalah hutang. Berdasarkan laporan oleh Sinar Harian pada hari ini, Malaysian Football League (MFL) masih gagal melunaskan elaun pengadil untuk saingan Piala Malaysia 2019 serta Piala FA tahun ini.
Malah menurut sumber kepada akhbar tersebut, terdapat pengadil yang mengadili perlawanan Liga M3 belum lagi menerima bayaran yang sepatutnya mereka terima sejak Jun tahun lalu.

Sumber tersebut dipercayai enggan dinamakan berkata masalah pembayaran tersebut sebenarnya sudah dibawa ke dalam Mesyuarat FAM sebelum ini. Namun sehinga sekarang, ia masih gagal diselesaikan.
“Kalau hanya satu perlawanan belum dibayar masih tak apa tetapi ini sudah melibatkan sehingga tujuh ke lapan perlawanan,” ujar sumber tersebut.
Sumber yang sama turut mendedahkan elaun yang diterima boleh mencecah sehingga RM1,000 termasuk elaun tugasan serta tuntutan penginapan, perjalanan dan makan minum untuk satu perlawanan.
“Untuk tuntutan penginapan, perjalanan dan makan minum itu menggunakan duit pengadil sendiri dahulu dan sepatutnya pasukan yang menjadi tuan rumah bayar balik kepada kami menggunakan duit geran diberikan FAM tetapi sampai sekarang belum dibayar balik,” katanya baru-baru ini.
Kegagalan MFL membayar elaun tersebut sehingga sekarang memberikan masalah kepada pengadil sepenuh masa. Ini kerana mereka hanya bergantung kepada pendapatan tersebut.
Perkara tersebut menjadi semakin parah apabila tiada perlawanan dibenarkan akibat krisis kesihatan, sekaligus menyukarkan mereka mencari pendapatan di tempat lain.
“Jika MFL dapat membayar tunggakan elaun itu, maka ia sedikit sebanyak akan melegakan pengadil yang terjejas. Ini bukan isu terpencil dan melibatkan ramai pengadil seluruh negara yang belum dibayar,” jelasnya lagi.