MFL Perlu Perhalusi Pelbagai Aspek Sebelum Laksanakan Perlawanan Waktu Petang – Setiausaha AFC

Menurut Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John berkata pelbagai aspek perlu diperhalusi dan paling utama persetujuan daripada pihak stesen televisyen (TV) yang membeli hak penyiaran liga di negara masing-masing kerana mereka yang membayar.

Katanya lagi , pihaknya tidak memiliki kuasa untuk campur tangan dalam soal perjalanan liga domestik di sesebuah negara ahlinya.

Ini antara intipati penting yang perlu dipertimbangkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sekiranya berhasrat untuk mengubah waktu perlawanan Liga Malaysia (Liga M) kepada siang berbanding beraksi waktu malam ketika ini.

“Masa perlawanan untuk liga ditentukan liga masing-masing, ada beberapa faktor yang pertama ialah aspek kehadiran penonton ke stadium.

“Yang kedua adalah jurulatih, adakah mereka bersetuju untuk main siang atau malam.

“Dan yang ketiga dan paling penting mengenai komersial TV. Takkan nak main masa orang tak tengok TV, sebab itu (waktu sekarang ditetapkan main malam) sekarang mereka main perlawanan malam untuk orang tengok TV.

“Begitu juga macam ‘point’ nombor satu tadi, kalau penyokong tak boleh datang stadium pukul 2 petang, takkan perlawanan nak buat ketika itu. Sebab kalau di Eropah, ada saja perlawanan bermula pukul 2 petang tetapi cuaca di sana lebih dingin dan tak panas di sini’. Katanya kepada berita menerusi laporan Arena Metro.

Bagaimanapun, badan induk itu sedia berkongsi maklumat dan kepakaran bagaimana untuk menganjurkan sesebuah liga yang menepati standard ditetapkan Fifa.

“Jadi banyak perkara perlu dikaji dengan teliti sambil mengikut keadaan cuaca, budaya, persetujuan semua pasukan dan juga pihak TV. Semua itu hak MFL untuk tentukan dan AFC tak boleh campur tangan,” katanya kepada Arena Metro.

Idea pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu melihat kemungkinan Liga M berjalan di waktu siang seperti mana aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) dilangsungkan boleh dipertimbangkan oleh pihak MFL namun pihak mereka perlu memperhalusi serta mengkaji beberapa faktor sebelum bersedia untuk melaksanakannya.

Tunku Mahkota Johor melihat manfaat sekiranya perlawanan dilangsungkan pada waktu petang seperti suasana di Eropah kerana tempoh masa lebih panjang untuk penyokong hadir bersantai di arena stadium berbanding perlawanan malam yang singkat dan terpaksa terus pulang sejurus tamat perlawanan.

 

Kongsi artikel ini