MFL Mungkin Tidak Benar Selangor Beraksi Di SSA Kerana Bumbung Tidak Selamat

Selangor berisiko tidak boleh beraksi di gelanggang keramat mereka, Stadium Shah Alam pada saingan Liga Malaysia pada musim ini kerana kerosakan bumbung yang mengancam keselamatan penonton.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd melalui satu laporan kepada Bernama pada hari ini.

Sebagai badan pentadbir dan penganjur saingan domestik bola sepak negara, Malaysian Football League (MFL) dilaporkan turut telah memaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS( untuk melakukan kerja baik pulih dengan segera.

Arahan tersebut adalah susulan pemeriksaan awal yang dilakukan oleh MFL sebelum ini.

Menurut Shazli lagi semua venue perlawanan Liga Malaysia 2020 perlu mencapai piawai yang ditetapkan sekurang-kurangnya seminggu sebelum sepak mula pada 28 Feb.

Kegagalan berbuat demikian bermakna Selangor berhadapan larangan menggunakan Stadium Shah Alam sebagai venue tuan rumah mereka pada musim ini.

“Kita telah membuat semakan (kerosakan) ketika melakukan pemeriksaan pertama dan pihak FAS telah dimaklumkan untuk memberi perhatian serius kepada aspek bumbung dan padang. Kalau mereka tidak buat (baiki), stadium itu tidak akan diluluskan.

“Tetapi saya difahamkan Selangor sedang dalam proses memastikan perkara itu dibaik pulih dan sebarang penambahbaikan akan dibuat.

“Seminggu sebelum liga bermula kita (MFL) akan mengemas kini status venue pertandingan untuk musim ini,” katanya.

Dalam perkembangan, Setiausaha Agung FAS Dr Johan Kamal Hamidon yang sedia maklum mengenai kerosakan stadium tersebut, menafikan kepada Bernama pihaknya diminta segera mengatasi masalah tersebut sebelum liga bermula.

“Secara jujurnya, saya tidak tahu mengenai pemeriksaan tersebut dan juga pemintaan mereka untuk kami (FAS) perbaiki,” kata Johan.

“Setakat ini kami tidak mempunyai sebarang rancangan untuk Stadium Shah Alam dari segi pembaikan padang dan juga bumbung, sebab kami tidak mempunyai kapasiti dan sumber untuk membuat apa-apa di situ.

Aksi Korea Selatan B-23 menentang Arab Saudi B-23 terpaksa dibatalkan ekoran faktor padang yang dikatakan tidak berada dalam keadaan baik.

Posted by Semuanya BOLA on Tuesday, 31 December 2019

“Tetapi saya tahu yang Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) telah mengeluarkan satu tender untuk pembaikan bumbung beberapa bulan lepas.

“Jadi mereka sedang dalam proses untuk membaiki stadium, tetapi FAS memang tidak terlibat dalam hal ini,” katanya.

Mengenai pertukaran venue, Dr. Johan juga berkata Selangor akan memberi kerjasama sekiranya diminta untuk menggunakan gelanggang lain pada musim ini.

Pada Kejohanan Selangor Asia Challenge (SAC) 2020, bulan lepas, keadaan Stadium Shah Alam mendapat perhatian pelbagai pihak, terutama dalam soal padang dan bumbung bocor, yang menyebabkan serpihan bumbung stadium jatuh di kawasan penonton.

Kongsi artikel ini