Messi Jay Sah Alami Kecederaan Pangkal Paha Dalam Perlawanan Bertemu Malaysia

Bintang Kawasaki Frontale, Chanatip Songkrasin atau lebih dikenali sebagai Messi Jay di kalangan peminat bola sepak Thailand sah mengalami kecederaan pangkal paha dalam pertemuan menentang Malaysia di Kejohanan King’s Cup pada malam tadi.

Chanatip merupakan antara pemain yang dibariskan di dalam senarai kesebelasan utama oleh Ketua Jurulatih skuad Gajah Perang, Mano Polking dan dianggap sebagai salah seorang pemain yang mampu mendatangkan masalah kepada benteng pasukan negara.

Kehadiran pemain itu bagaimanapun gagal memberikan impak yang diharapkan apabila beliau terpaksa dikeluarkan selepas 14 minit perlawanan berlangsung, sebelum digantikan oleh Sumanya Purisai.

Sepanjang 14 minit berada di dalam padang, kapten Thailand itu dikawal rapat oleh Brendan Gan.

Selepas tamat perlawanan, Mano Polking berkata langkah mengeluarkan pemain itu dilakukan sebagai langkah untuk melindungi pemain itu daripada kecederaan yang lebih serius.

Namun pada hari ini Chanatip mengesahkan terdapat koyakan pada otot pahanya, namun masih memerlukan pemeriksaan lanjut untuk mengesahkan sejauh mana serius kecederaan yang dialaminya itu.

“Kemungkinan kecederaan yang sama di bahagian pangkal paha. Kita akan tahu selepas pemeriksaan lebih lanjut. Tetapi yang pasti saya berpendapat terdapat koyakan,” kata Chanatip kepada wartawan Jepun yang hadir membuat liputan perlawanan tersebut.

Perkembangan terbaru ini bermakna Chanatip besar kemungkinan terpaksa melupakan perlawanan merebut tempat ketiga menentang Trinidad & Tobago pada Ahad akan datang.

Kecederaan pangkal paha bukan kecederaan yang asing buat Chanatip. Pemain itu turut mengalami kecederaan yang sama ketika beraksi bersama Kawasaki Frontale di dalam aksi peringkat Kumpulan I AFC Champions League yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada penghujung April lalu.

Diturunkan dalam perlawanan menentang Guangzhou FC pada ketika itu, Chanatip hanya sempat beraksi selama 13 minit sebelum terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan tersebut.

Kecederaan itu sebelum ini memaksa Chanatip berehat selama lapan minggu.

Kongsi artikel ini