Mengenang Kembali Pencapaian Sir Alex Ferguson Sempena Hari Kelahiran Ke-78

Selamat tahun baru diucapkan kepada pembaca Grand Stand Kita. Namun demikian tidak terlambat rasanya untuk kita meraikan hari kelahiran salah seorang individu hebat di dalam bola sepak.

Sir Alex Ferguson meraikan hari kelahiran ke-78 semalam, 31 Disember 2019.

Kisah dari permulaan

Kisah permulaan Sir Alex di Old Trafford sering kali menjadi titipan penyokong setia Manchester United setiap kali bekas pengurus bergelar legenda ini dikenang.

6 November 1986, tidak berapa lama selepas Ron Atkinson telah dipecat, Manchester United melantik pengurus dari Scotland ini.

Pada ketika itu nasib United suram. Digelar pasukan pertengahan dan pencapaian mereka sering kali dianggap mengecewakan.

Misi diberikan kepada Ferguson tidak semudah kata-kata. Kembalikan United kepada kegemilangan yang sepatutnya. Itu impian United.

Namun impian Ferguson lebih besar daripada itu. Impian beliau jauh melangkaui apa yang ramai fikirkan pada ketika itu.

Liverpool sering kali dijadikan motivasi buat kelab seperti United. ‘Knock them off their f***ing perch’ adalah ungkapan terkenal daripada Ferguson.

Tatkala seteru mereka itu meraih pelbagai gelaran domestik dan eropah, Ferguson nekad menyingkirkan kelab Merseyside itu sebagai kelab paling dominan Liga Inggeris.

‘Knock them off their f***ing perch’

Untuk menyingkirkan Liverpool daripada dominasi, anda tidak boleh memiliki sekadar dari sebuah pasukan. Tetapi anda perlu membina sebuah skuad yang menyerupai sebuah dinasti yang mampu bersaing saban musim.

Itulah cabaran terbesar buat Ferguson di Old Trafford. Kesabaran adalah musuh utama kepada mana-mana pengurus, termasuk Ferguson.

Selepas beberapa musim yang sukar, dominasi yang dibina oleh Ferguson mulai membuahkan hasil.

Antara skuad terkenal yang dibina oleh Ferguson ialah ‘Class of 92’. United dari sebuah pasukan pertengahan kemudiannya tampil sebagai sebuah pasukan ‘serial winner’.

Bukan sahaja impian Ferguson untuk memadam dominasi Liverpool. Sejujurnya, tertalu banyak kenangan kejayaan untuk disenaraikan di dalam dan luar padang untuk direkodkan yang mengikuti selepas itu.

Pemain penting era Ferguson

Jika anda mengikuti Liga Perdana Inggeris sejak dari mulanya, sudah pasti aksi Eric Cantona sebagai antara No.10 terbaik yang pernah bola sepak Inggeris saksikan memecah dominasi rangkaian dua penyerang No.9 di dalam sistem 4-4-2 menjadi ingatan.

Kemudian tampil gandingan Dwight Yorke dan Andy Cole merajai seluruh eropah, sehingga ke Barcelona 1992.

Kemudian tampil pula Wayne Rooney yang digelar ‘the record breaker’, memecah rekod demi rekod di Old Trafford dan juga ketika bersama England.

Tidak dilupakan juga bagaimana Ferguson membimbing Cristiano Ronaldo untuk memenangi Ballon d’Or pertamanya, selain membentuk gandingan Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic menjadi antara pertahanan terbaik dunia.

Tidak dilupakan juga pemain-pemain seperti Ryan Giggs, Paul Scholes, Gary Neville, David Beckham yang secara diam mengimplementasi visi Ferguson secara efisien.

Ia adalah era yang penuh dengan drama kegemilangan, permainan minda, juga kontroversi perseteruan terutama bersama Arsenal.

Tetapi dominasi gemilang sepanjang tempoh 26 tahun itu yang akan dikenang sehingga ke hari ini.

26 tahun penuh gemilang

“Di dunia ini ada dua jenis pengurus bola sepak. Yang pertama, akan datang untuk menggantikan pengendali yang sebelumnya. Misi mereka adalah untuk mengubah nasib pasukan itu dengan segera, atau memenangi beberapa trofi.

“Yang kedua, ialah pengurus bola sepak yang mahu membina satu dinasti untuk mencipta dominasi dan era baharu di dalam sesebuah kelab. Saya mahu jadi yang kedua,” ujar Alex Ferguson satu ketika dahulu.

Sepanjang tempoh 26 tahun bersama United, Sir Alex kemudiannya meraih 13 gelaran Liga Perdana Inggeris, 5 Piala FA , 4 Piala Liga, 2 kejuaraan Champions Leagues, satu kejuaraan Super Cup and satu Piala Kelab Dunia.

Penutup

Semalam adalah hari kelahiran ke-78 Sir Alex. Tidak boleh dinafikan lagi, beliau adalah antara pengurus terhebat yang pernah mewarnai bola sepak.

Walau apa pun pencapaian United pada hari ini, legasi kehebatan Ferguson akan sentiasa menjadi penanda aras di Theatre of Dreams.

Setidak-tidaknya ia akan menjadi cabaran besar buat mana-mana kelab lain yang mahu membina dinasti tersendiri di Liga Inggeris.

Kongsi artikel ini