Mengapa JDT Berminat Untuk Mendapatkan Bintang Dari Thailand Ini?

Melalui sebuah klip video yang dikongsikan oleh media sosial JDT, JOHOR Southern Tigers baru-baru ini, pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) membayangkan akan mendatangkan tiga pemain import baharu untuk memperkuatkan skuad Harimau Selatan pada musim hadapan.

Selain daripada seorang pemain pertahanan tengah, TMJ turut mendedahkan seorang penyerang dari Brazil dan seorang pemain bek sayap sebelah kiri yang mampu beraksi di beberapa posisi seperti pemain sayap dan pertahanan turut di dalam perancangan untuk dibawa masuk.

Menariknya, TMJ turut mendedahkan pemain bek sayap tersebut adalah pemain kelahiran Sepanyol dan memiliki pasport ASEAN – memberi indikasi pemain tersebut beraksi bersama salah sebuah pasukan di rantau ini.

Informasi yang diberikan TMJ itu memudahkan pencarian, dan hasilnya hanya ada seorang pemain yang memiliki ciri-ciri tersebut.

Pemain yang dimaksudkan adalah bek sayap kelab Liga 1 Thailand, BG Pathum, iaitu Ernesto Phumipa.

Siapa Ernesto Phumipa?

Ernesto Amentegui Phumipa adalah bek kiri BG Pathum berusia 32 tahun dan merupakan pemain kelahiran Oviedo, Sepanyol.

Ayahnya adalah kelahiran wilayah Basque, dan ibunya adalah warga Thai, membolehkan beliau untuk mewakili mana-mana negara di peringkat antarabangsa.

Karier beliau bermula bersama kelab tempatan di Sepanyol, Real Oviedo sebelum turut pernah beraksi bersama Club Deportivo Mirandes dan Sporting Gijon di Segunda Division.

Karier pemain  ini di Eropah agak terhad, dan Phumipa mulai beraksi di Liga Thai dengan menyertai Buriram United pada 2013.

Sejak daripada itu, beliau telah menyarung jersi beberapa pasukan di Liga Thai, termasuk Army United, Bangkok United, Port FC, Muangthong United, dan Samut Prakan City sebelum menyertai BG Pathum pada 2013.

Sepanjang berkarier di Thailand, Ernesto Phumipa berjaya merangkul dua kejuaraan Thailand Champions Cup – trofi yang menyamai Piala Sumbangsih di Malaysia, menemukan juara Liga Thai dan Piala FA.

Pengalaman antarabangsa

Walaupun sudah beraksi di Liga Thai sejak 2013, panggilan pertama untuk menyertai skuad kebangsaan untuk Phumpai hanya hadir pada 3 Jun 2021 menentang Indonesia di perlawanan kelayakan Piala Dunia.

Phumpai setakat ini hanya tampil sebanyak tiga kali untuk skuad Gajah Perang, termasuk perlawanan menentang Malaysia di pusingan kelayakan yang sama yang berakhir dengan kekalahan 1-0 kepada Thailand.

Walaupun bukan pemain pilihan di posisi sebelah kiri bersama BG Pathum di dalam aksi domestik, musim lalu menyaksikan Phumpai melakukan empat penampilan di dalam aksi kumpulan AFC Champions League (ACL)  dalam dua perlawanan menentang Melbourne City,  dan masing-msaing satu perlawanan menentang Jeongnam Dragons, United City.

Mengambil kira pengalaman yang dimiliki pemain ini di pertandingan ACL, maka tidak hairanlah mengapa JDT berminat untuk mendapatkan khidmat pemain ini sebagai ‘back-up’ kepada Corbin Ong di posisi sama.

Sekiranya benar Ernesto Phumpai adalah pemain yang dimaksudkan, maka JDT perlu membayar jumlah tertentu untuk mendapatkan khidmat beliau kerana pemain ini masih memiliki kontrak sehingga 31 Mei 2023 bersama BG Pathum.

Kongsi artikel ini